Gangguan air lagi? Pastikan ada air dalam 84 jam, atau tukar pengurusan Air Selangor!

Gangguan air lagi? Pastikan ada air dalam 84 jam, atau tukar pengurusan Air Selangor!
Dalam 84 jam pastikan air ada atau tukar pengurusan Air Selangor, kata Pengerusi SPAN.
KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) diberi amaran untuk memastikan bekalan air terganggu di tujuh daerah, selesai sepenuhnya menjelang 9 malam, 26 Julai ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengurusan Air Nasional (SPAN) Charles Santiago berkata, sekiranya perkara itu tidak selesai, pihaknya akan meminta kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk menukar pengurusan kanan Air Selangor.

“Kerja-kerja penambahbaikan dijadualkan bermula 23 Julai dari pukul 9 pagi hingga 9 malam dan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 84 jam.
"Oleh itu, sekiranya 758,570 akaun pengguna di tujuh wilayah yang terjejas tidak menerima bekalan air menjelang 9 malam pada 26 Julai, kami meminta Menteri Besar Selangor buat pertukaran pengurusan kanan Air Selangor. Kami ambil perkara ini dengan serius," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Charles berkata tiada pilihan untuk tidak melakukan kerja-kerja baik pulih berkenaan kerana beberapa peralatan kritikal perlu diganti dalam memastikan rezab simpanan air naik ke 8.7 peratus menjelang januari 2020.

Terdahulu, Air Selangor telah membuat permohonan kepada SPAN pada 2 Julai lalu untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1 (LRA SSP1) yang dijadualkan bermula 23 Julai.

Kerja-kerja pembaikan akan berlangsung dari 9 pagi hingga 9 malam untuk memperbaiki sistem bekalan air kepada kira-kira 758,570 akaun pengguna di 758 kawasan di tujuh daerah di Klang, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat, Hulu Selangor dan Kuala Selangor.

Tempoh keseluruhan gangguan ialah 84 jam iaitu 2 hinga 4 hari bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna.

Tag: SPAN, Air Selangor, Charles Santiago, Suruhanjaya Pengurusan Air Nasional


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.