Gangguan bekalan air 24 April, lebih 4 juta pengguna diingatkan simpan air

Gangguan bekalan air 24 April, lebih 4 juta pengguna diingatkan simpan air
Dugaan gangguan bekalan air sememangnya 'perkara mengerikan' buat semua orang, lebih-lebih lagi yang berkeluarga. - Gambar hiasan
CYBERJAYA: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) menasihatkan lebih empat juta pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air akibat kerja-kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) bermula 24 April ini agar menyimpan air secukupnya bagi mengelak sebarang permasalahan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Suhaimi Kamaralzaman menjelaskan, pihaknya telah melakukan persediaan yang perlu bagi mengelak ketidakselesaan pengguna.

Antaranya, Air Selangor akan menyediakan 82 tangki air dan 17 tangki air jumbo kepada pengguna dan premis yang kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan sebagainya.

“Air Selangor akan menyediakan 82 buah tangki air dan 17 tangki air jumbo selain menempatkan tangki air statik di premis yang kritikal. Air Selangor telah membuat persediaan dan perancangan melalui bekalan air melalui tangki kepada pengguna dan premis kritikal seperti hospital, klinik, pusat dialisis dan sebagainya,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) di sini pada Jumaat.


Selain itu, 106 buah tangki statik akan turut diletakkan di lokasi strategik.

Pada masa sama, Pusat Khidmat Setempat juga akan disediakan bermula 26 April.

“Namun sebelum itu, pelanggan disarankan menyimpan air secukupnya dan boleh memanggil tangki Air Selangor bagi kes kecemasan seperti kematian, kenduri dan lain-lain. Pelanggan juga dinasihatkan supaya menggunakan air secara berhemah buat masa ini,” ujarnya.

Bagi kes kecemasan, beberapa talian disediakan Air Selangor terutama pusat panggilan Air Selangor di talian 15300.

Pelanggan industri juga boleh ke kaunter Air Selangor untuk membuat urusan pembelian diperlukan industri.

Pada Khamis, SPAN dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya telah menerima permohonan daripada Air Selangor untuk menjalankan kerja-kerja penambahbaikan perkakasan kritikal sistem bekalan elektrik di LRA SSP2 pada 24 April ini.

Kerja-kerja penambahbaikan bermula dari 9 pagi hingga 11 malam iaitu selama 14 jam dan akan menyebabkan henti tugas di LRA SSP2.

Henti tugas berkenaan menyebabkan gangguan bekalan air sehingga 86 jam bergantung kepada lokasi dan kedudukan pengguna.

620,835 akaun atau lebih 4.14 juta pengguna di 577 kawasan akan terkesan iaitu di Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor.

Tag: bekalan air, henti tugas, pengguna, lembah klang, gangguan bekalan air, gangguan 86 jam


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.