Beberapa kawasan di Daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air ekoran penutupan loji rawatan air Sungai Semenyih akibat pencemaran bau air sungai pada jam 7.30 pagi tadi.

Menurut Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Elizabeth Wong, pencemaran dalam sungai disahkan berpunca dari Nilai, Negeri Sembilan.

"Bau daripada hulu jalan air di Nilai telah dikesan berbau luar biasa yang kuat mengalir ke Sungai Buah, yang menghala ke muka sauk Semenyih. Ikan mati juga telah kelihatan dalam sungai di sekitar kawasan Nilai," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata pasukan pemantau sungai Air Selangor, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah menjejak bau sepanjang Sungai Buah sejak pagi tadi untuk mengenal pasti punca pencemaran.

Namun jelasnya, pada jam 4.00 petang tadi, air sungai masih berbau.

Elizabeth juga berkata Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan telah dimaklumkan mengenai perkara ini melalui Jabatan Alam Sekitar Selangor dan LUAS.

Kawasan utama yang mengalami gangguan bekalan air adalah seperti berikut:
Bantuan bekalan air sedang dihantar dengan lori tangki ke kawasan yang terlibat dan premis kritikal, seperti hospital dan pusat dialisis.

Pelanggan boleh mendapatkan status bekalan air terkini di kawasan yang terlibat melalui aplikasi telefon pintar 'mySYABAS dan www.syabas.com.my.