Rata-rata rakyat negeri Melaka mula mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyimpan air sebagai persiapan bagi menghadapi kemungkinan terputus bekalan air.

Tinjauan Bernama mendapati orang ramai mula menyimpan air sejak petang Khamis bagi memastikan mereka mempunyai simpanan air bersih yang mencukupi untuk kegunaan harian.

Peniaga, Ibrahim Mohomaad Noor, 44, berkata walaupun kawasan Bukit Katil masih belum terjejas, beliau dan isterinya Noraisah Ghani mula membuat persiapan membeli bekas air semalam dan mula menadah air malam Khamis.

"Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa tidak berlaku krisis air di Melaka... saya mengambil langkah awal menadah air agar tidak kelam kabut jika bekalan air terputus.

"Lagipun saya mempunyai tiga orang anak yang belajar di sekolah rendah... mereka masih tidak faham masalah yang bakal dihadapi nanti dan hanya tahu nak mandi sahaja... biasalah budak-budak," katanya kepada Bernama di sini pada Jumaat.

Suri rumah, Norhayati Latiff, 39, dari Duyong berkata setelah membaca komen kebanyakan netizen di media sosial mengenai masalah bekalan air di negeri ini, beliau mula menadah air malam Khamis.

"Alhamdulillah bila bangun pagi tadi saya buat pemeriksaan air paip masih ada seperti biasa dan saya cuba berjimat dalam mengunakan air kerana bersimpati melihat orang ramai yang terpaksa bersusah payah apabila terjejas dengan gangguan bekalan air," kata ibu kepada lima orang anak itu.

Norhayati berkata beliau tidak bercadang untuk menambah bilangan tong air buat masa ini kerana percaya kerajaan negeri mampu menyelesaikan masalah tersebut.

"Saya harap pihak berwajib seperti Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) dapat mengeluarkan notis sekurang-kurang sehari awal kepada orang ramai jika ingin lakukan catuan air agar pengguna dapat membuat persiapan awal," katanya.

Setakat 6 pagi tadi, bekalan air di 74 kawasan perumahan dan kampung di sekitar negeri ini masih terputus sejak minggu lepas.

Antara kawasan terlibat ialah Lorong Pandan, Malim, Bachang, Cheng, Peringgit, Semabok, Tengkera, Bandar Melaka, Kota Laksamana, Pengkalan Rama, Bukit Baru, Bandar Hilir dan Kampung Gelam di daerah Melaka Tengah, Selandar di Jasin dan Krubong Perdana di Alor Gajah.

Ketua Menteri Adly Zahari semalam dilaporkan sebagai berkata Empangan Durian Tunggal di Alor Gajah dekat sini yang mempunyai kapasiti 32,600 juta liter air mempunyai kapasiti semasa 6,470 juta liter air, dan kerajaan negeri pada masa ini tidak bercadang membuat catuan air.

-- BERNAMA