Beberapa kawasan di Bandar Bukit Puchong di Wilayah Sepang dan Petaling mengalami gangguan bekalan air berikutan paip pecah di pintu masuk Apartment Baiduri Court, Bandar Bukit Puchong 2.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Elina Baseri berkata kerja pembaikan paip pecah tersebut tidak dapat disiapkan seperti yang dijadualkan pada 10 malam Ahad kerana kedalamannya melebihi lapan meter yang memerlukan kerja pengukuhan ruang pembaikan dilakukan terlebih dahulu.

Beliau menjelaskan kerja-kerja pengorekan terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat.

"Insiden paip pecah ini pada awalnya telah menyebabkan gangguan bekalan air di 40 kawasan, seperti yang telah dimaklumkan di aplikasi Air Selangor pagi tadi (Ahad).

"Bagaimanapun, setelah bekalan air alternatif berjaya disalurkan dari sumber lain, kawasan gangguan bekalan air tidak berjadual ini telah berjaya dikurangkan kepada 17 kawasan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata Air Selangor menjangkakan pemulihan sepenuhnya bekalan air di kawasan terjejas pada 6 petang Isnin (4 Mei).

Air Selangor juga telah menggerakkan lori-lori tangki di Bandar Bukit Puchong bagi membantu pengguna yang terjejas.

Menurutnya, Air Selangor akan terus menyalurkan status terkini kepada pengguna dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Aplikasi Air Selangor, Twitter, Facebook, Instagram dan laman sesawang di www.airselangor.com.

-- BERNAMA