Tutup

Gangguan sistem di KLIA tiada unsur salah laku atau rasuah - SPRM

Gangguan sistem di KLIA tiada unsur salah laku atau rasuah - SPRM
Latheefa Koya pada sidang media selepas sesi dialog bersama syarikat berkaitan kerajaan dan industri perhotelan di sebuah hotel hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA TERENGGANU: Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku atau unsur rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata setakat ini SPRM tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berkaitan perkara itu yang boleh mengaitkannya dengan gangguan sistem teknikal di lapangan terbang tersebut.
"Setakat ini memang tiada...bagaimanapun SPRM bersedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan yang mengaitkan gangguan teknikal itu dengan salah laku atau unsur rasuah," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dialog Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Industri Perhotelan Terengganu Bersama Ketua Pengarah SPRM di sini hari ini.
Gangguan teknikal pada Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) selama empat hari sejak Rabu lepas telah menyebabkan kelewatan penerbangan dan situasi itu sangat mengecewakan penumpang.

BACA: Gangguan sistem KLIA: MAHB tidak tolak wujud unsur berniat jahat

BACA: Tubuh jawatankuasa siasat kegagalan sistem di KLIA

Bangguan itu juga melibatkan fungsi utama seperti penyambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, dan sistem pengendalian bagasi.

Bagaimanapun, situasi di KLIA pulih dengan penumpang dapat mengetahui status penerbangan pada FIDS, yang telah diperbaiki dan proses daftar masuk telah kembali normal.

-- BERNAMA


Tag: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, gangguan sistem KLIA, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan, FIDS, KLIA, SPRM, Latheefa Koya



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.