Hasil siasatan berhubung kes gangguan rangkaian operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Ogos lalu dijangka akan dibentangkan kepada Kabinet akhir bulan ini, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).

Kementerian itu dalam jawapan bertulis yang dipaparkan di laman web Parlimen hari ini, memaklumkan hasil siasatan itu akan dibentangkan oleh Jawatankuasa Peringkat Kementerian Pengangkutan yang dibentuk untuk menyiasat insiden itu.

Jawatankuasa berkenaan dianggotai oleh Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA).

"Pada masa yang sama, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti jika terdapat sebarang unsur khianat atau sabotaj. Tertakluk kepada hasil siasatan tersebut, sebarang cadangan tindakan pendakwaan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya," menurut kementerian itu.

Ia bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) yang ingin tahu hasil siasatan insiden tersebut dan apakah tindakan yang telah diambil terhadap Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

Pada 21 Ogos lalu, kegagalan sistem Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) di KLIA menjejaskan fungsi utama seperti sambungan WiFi, sistem paparan maklumat penerbangan, kaunter daftar masuk dan sistem pengendalian bagasi.

Sementara itu, jawapan dari kementerian turut menyebut bahawa hasil siasatan insiden berkenaan tidak boleh didedahkan memandangkan ia masih dalam siasatan dan sebarang tindakan terhadap MAHB akan hanya dipertimbangkan setelah siasatan tersebut dimuktamadkan.

"Walau apapun hasil siasatan tersebut kelak, ia tidak akan menjejaskan sebarang tindakan pengawalseliaan dan penguatkuasaan yang boleh diambil oleh pihak MAVCOM dan CAAM melalui peruntukan undang-undang sedia ada dalam Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 dan Akta Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia 2016," tambah jawapan itu.

Sebagai langkah interim dan jangka panjang, MAHB juga akan menaiktaraf sistem sedia ada ke generasi kedua TAMS sebagai sebahagian inisiatif 'Airport 4.0' yang merangkumi beberapa aspek seperti Sistem Pengurusan Lapangan Terbang Pintar dengan penggunaan pengkomputeran autonomi untuk proses Autonomous SelfHealing.

MAHB juga turut mengadakan pelaksanaan Internet of Things (IoT) menerusi algoritma Machine Learning (ML) dan Kecerdasan Buatan Sistem Pengurusan Lapangan Terbang untuk ramalan awal, pengagihan pintu-pintu secara automatik, menentukan trafik penumpang dan pengawalan secara terus semua infrastruktur yang akan memberi kesan kepada penjimatan kuasa elektrik.

-- BERNAMA