Ganjaran NCD kurangkan risiko kemalangan maut

Ganjaran NCD kurangkan risiko kemalangan maut
Shaw Voon berkata beliau melihat perkembangan itu sebagai satu nilai positif ke arah pengurangan kadar kemalangan maut dan cedera parah. -Foto Sinar Harian
SHAH ALAM: Pemberian diskaun tanpa tuntutan (NCD) bagi bayaran premium insurans kenderaan kepada pemandu berhemah yang bakal dilaksanakan kerajaan bermula tahun depan dilihat sebagai peluang terbaik untuk pemandu menjadikan pematuhan terhadap undang-undang jalan raya sebagai satu budaya.

Pakar Kejuruteraan Lebuhraya dan Pengangkutan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr Wong Shaw Voon berkata beliau melihat perkembangan itu sebagai satu nilai positif ke arah pengurangan kadar kemalangan maut dan cedera parah.

Menurutnya, ia juga akan menjadi satu bentuk pulangan semula dengan pengiktirafan kepada pengguna jalan raya yang secara konsisten mematuhi peraturan ditetapkan.

"Salah satu sebab kita kena patuh undang-undang adalah perlunya pemanduan yang berhemah kerana kelajuan itu sendiri meningkatkan risiko kematian atas jalan raya.

"Bayangkan semua kenderaan dengan kelajuan yang sama, tak ada orang memandu sesuka hati. sudah tentu tidak akan berlaku kemalangan sebab semua orang mengikut peraturan," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau yang juga Ahli Lembaga Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros) menjelaskan punca berlaku perlanggaran apabila wujud konflik disebabkan pemanduan yang gagal mengikut tahap kelajuan ditetapkan.

"Kelajuan yang sama tidak akan ada konflik. Dengan kelajuan yang lambat atau laju, kita telah mencipta konflik yang mengganggu pergerakan kenderaan. Bila konflik berlaku, risiko untuk perlanggaran berlaku meningkat.

"Jika berlaku kemalangan pada kelajuan yang telah ditetapkan, risiko untuk cedera parah atau kemalangan maut juga akan berkurangan," katanya.