SATU demi satu.

Begitulah situasi kes nahas jalan raya yang membabitkan sikap remeh-temeh diambil oleh individu yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah.

Hanya sikap pentingkan diri sendiri dan kehilangan siuman seorang pemabuk, nyawa orang lain pula melayang begitu sahaja.

Lebih menyedihkan apabila keluarga mangsa antara pihak yang teruk terkesan dengan berita kematian akibat kejadian ‘malang tidak berbau’ itu.

BACA: Pemandu mabuk: Adakah hukuman berat mampu menanganinya?

BACA: Isteri harap suspek mabuk terlibat kemalangan maut terima hukuman setimpal

Memetik laporan kesihatan oleh Hellodoktor.com, berikut Astro AWANI kongsikan impak negatif pengambilan alkohol kepada si pemandu yang mabuk.


Fokus

Ketika memandu pasti memerlukan fokus yang tinggi kerana anda perlu peka dengan keadaan persekitaran.

Sebab itulah seorang pemandu tidak dinasihatkan untuk menggunakan telefon bimbit ketika memandu kerana ia boleh mengalih tumpuan individu terhadap persekitaran jalan raya.

Individu yang tidak mabuk juga kadang-kala boleh hilang konsentrasinya apatah lagi jika anda berada di bawah pengaruh alkohol.

Malahan terdapat risiko menyebabkan individu rasa mengantuk.


Waktu tindak balas

Alkohol akan memperlahankan refleks.

Keadaan ini sekali gus akan menjejaskan keupayaan anda sebagai pemandu untuk bertindak balas dengan pantas terhadap situasi yang berubah-ubah.

Berada di atas jalan raya mendedahkan anda kepada pelbagai bahaya yang mengundang tanpa sedar terutama jika ia melibatkan kecuaian pengguna jalan raya yang lain.


Penglihatan

Kesan alkohol terhadap penglihatan adalah ia akan melambatkan fungsi otot mata, mengubah pergerakan mata dan persepsi visual.

Alkohol juga mungkin akan mengakibatkan penglihatan anda kabur. Kesannya, penglihatan pada waktu malam juga akan terjejas.


Koordinasi

Koordinasi mata, tangan atau kaki boleh terjejas disebabkan pengambilan minuman alkohol yang terlalu banyak.


Keupayaan untuk mengenal pasti

Apabila anda dipengaruhi oleh kesan alkohol, anda akan mengalami kesukaran untuk mengenal pasti secara tepat.

Kedudukan kenderaan di atas jalan raya, atau lokasi kenderaan lain, garisan jalan raya atau pun sebarang tanda jalan antara elemen penting yang perlu diberi tumpuan ketika memandu.


Berfikir secara rasional

Berada dalam keadaan mabuk juga boleh menyebabkan anda membuat keputusan yang tidak rasional.

Selain itu, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengambilan alkohol yang berlebihan juga boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan termasuk gastritis akut, sirosis hati sama ada dengan atau tanpa kanser hati, dan pankreatitis akut dan kronik.

Kementerian itu berpendapat individu yang memilih untuk meminum alkohol perlu mengambil berat tentang kuantitinya dan cuba mengelak meminum minuman keras secara berlebihan.