Tutup

Gara-gara jerebu, bot Putih Dagang hanyut sampai ke Indonesia

Gara-gara jerebu, bot Putih Dagang hanyut sampai ke Indonesia
Mereka kemudian meneruskan perjalanan sebelum diselamatkan pihak berkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas memasuki kawasan Sungai Linggi, Alor Gajah. - Foto Astro AWANI
MELAKA: Dua beranak berdepan detik cemas selepas bot dinaiki mereka hilang arah sehingga memasuki sempadan perairan negara jiran awal pagi tadi.


Mereka yang merupakan nelayan tempatan itu dikatakan hilang panduan arah untuk pulang semula ke daratan di Jeti Nelayan Pantai Puteri, Melaka selepas jarak penglihatan amat terhad, akibat jerebu.

Menceritakan detik cemas itu, warga emas Putih Dagang, 62, berkata, dia dan anak lelakinya yang berusia 30 tahun keluar menangkap ikan menaiki bot mereka selepas solat Maghrib malam semalam.


Selepas memperoleh kira-kira 40 kilogram ikan hasil tangkapan, mereka berkemas untuk pulang pada jam 12 tengah malam menuju ke Pantai Puteri yang terletak sekitar 10 batu nautika dari kedudukan bot.

Bagaimanapun selepas kira-kira 90 minit bergerak, mereka berasa pelik apabila tidak sampai ke daratan seperti kebiasaan dan menyedari tersilap arah laluan memandangkan keadaan jerebu yang amat teruk.


Lebih mencemaskan apabila minyak petrol yang digunakan untuk enjin bot juga berada pada paras minimum.


Serentak itu, mereka didatangi lima buah perahu nelayan dan berdasarkan dialek digunakan, mereka menyedari telah memasuki ke sempadan Indonesia, sebelum salah sebuah bot nelayan menunda bot mereka sehingga tiba di Pulau Rupat, Indonesia sekitar jam 7.30 pagi.



Tambahnya, sepanjang hampir tujuh jam bot ditunda ke Pulau Rupat, hatinya berdebar-debar sambil berdoa mereka dua beranak selamat daripada sebarang musibah termasuk ditangkap pihak berkuasa.


Sebaik tiba di Pulau Rupat kira-kira jam 7.30 pagi, dia berunding dengan nelayan di sana sebelum menjual semua 40 kilogram hasil tangkapan ikan cencaru pada harga RM4 sekilogram selain menyerahkan jam tangannya.


Hasil jualan itu digunakan untuk membeli 70 liter minyak petrol dan bertolak pulang pada jam 8.20 pagi dan dua beranak itu terus berdoa agar tidak terserempak bot pihak berkuasa Indonesia.

Mereka kemudian meneruskan perjalanan sebelum diselamatkan pihak berkuasa Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia selepas memasuki kawasan Sungai Linggi, Alor Gajah.


Sementara itu, Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Amran Daud, berkata kedua-dua  beranak itu ditemui pasukan matitim berhampiran Jeti Alam, Kuala Sungai Baru, Alor Gajah.


“Bot tersebut didapati belayar keluar pada petang semalam dan dilaporkan keluarganya sendiri melaporkan dia tidak pulang yang mana sepatutnya pulang awal pagi ini.

“Mungkin ada beberapa faktor yang menyebabkan bot tersebut tidak dapat dikesan, mungkin faktor cuaca yang difahamkan malam tadi laut dan cuaca baik, kecuali jerebu tebal di Bandaraya Melaka,” katanya ketika ditemui hari ini.


Terdahulu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) kedua-dua mangsa membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan APMM, digerakkan bermula jam 7.30 pagi tadi.


Gerakan itu dilaksanakan selepas menerima aduan daripada isteri Putih yang melaporkan suami dan anaknya keluar berlayar dari lewat petang semalam dan belum pulang seperti kebiasaan.


Tag: GERAKAN, APMM, Petrol, Indonesia, Negeri Sembilan, Alor Gajah, jerebu, sesat ke Indonesia, Angkatan Pertahanan Awam, operasi, nelayan, nelayan sesat, warga emas, JBPM, Malaysia



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.