Sepasang suami isteri warganegara Rusia ditahan polis selepas klip video seorang lelaki melambung dan menghayun bayi berusia empat bulan dalam persembahan jalanan di ibu negara baru-baru ini tular di media sosial.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim mengesahkan tangkapan dibuat jam 3.30 petang pada Isnin.

“Kami telah menahan seorang lelaki, 28 tahun dan seorang wanita, 27 tahun yang dipercayai masuk ke Malaysia dari Thailand pada 1 Februari lalu.

“Tangkapan tersebut dibuat selepas menerima laporan orang awam yang berada di Jalan Raja Abdullah,” katanya ketika sidang media selepas mengedarkan bag cenderamata sempena kempen Op Selamat 14 di Plaza Tol Jalan Duta.

Kedua-dua suspek ditahan reman sehingga Selasa bagi membantu siasatan di bawah Akta Kanak-Kanak 2001.


BACA: 'Begpackers' buat hal, bayi dilambung-lambung untuk dapat sumbangan

Sebelum ini, video seorang bayi yang dilambung dan dihayun secara berbahaya oleh seorang 'begpacker' di ibu negara dipercayai sebagai aksi untuk mendapatkan derma orang ramai mula tular di media sosial.

‘Begpackers' adalah istilah yang merujuk kepada golongan pelancong asing, yang meminta derma atau sumbangan (begging) daripada orang ramai untuk menampung kos perjalanan mereka.

Kejadian dipercayai berlaku di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur.