Gara-gara memotong giliran ketika menimbang buah kelapa sawit, seorang lelaki maut ditikam di Kampung Ulu Sapi, Jalan Sapi-Nangoh, Beluran, kelmarin.

Mangsa Baso Padue Paddo, 30, maut selepas ditikam tiga kali masing-masing di bahagian lengan, belakang badan dan dada.

Ketua Polis Daerah Beluran, Superintenden V Sivananthan, berkata berlaku pertelingkahan antara mangsa dengan suspek kerana memotong barisan untuk menimbang buah kelapa sawit, sehari sebelum kejadian, namun dapat dileraikan orang ramai.

“Suspek berusia 26 tahun itu bagaimanapun masih tidak berpuas hati dengan mangsa kemudiannya mengintai mangsa di kawasan tempat timbang buah kelapa sawit sebelum bertindak menikamnya.

“Mangsa yang cedera parah dikejarkan ke Klinik Kesihatan Telupid namun disahkan meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Sabtu.

Suspek yang melarikan diri ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran menyerah diri kepada polis beberapa jam kemudian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.