Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia akan mengeluarkan satu garis panduan mengenai bidang kuasa kerajaan negeri dalam menguruskan kawasan hutan di negeri masing-masing, kata Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar.

Selaras dengan penyediaan garis panduan itu, beliau berkata kementeriannya akan mencadangkan pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 bagi membolehkan garis panduan yang menyentuh pengeluaran lesen pembalakan dan menggazetkan kawasan hutan itu menjadi sebahagian daripada akta berkenaan.

"Kalau semua kerajaan negeri ikut proses yang ditetapkan, masalah tidak akan timbul. Tetapi sekarang apa yang saya nampak ialah kuasa untuk gazet hutan simpanan semuanya di bawah exco kerajaan negeri. Sebab itulah kawasan hutan dengan senang digazetkan dalam mesyuarat exco," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan kongsi raya Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Aidilfitri di kementeriannya di sini hari ini.

Dr Xavier turut meminta negeri-negeri supaya bekerjasama dengan kerajaan pusat dan melihat kepada prosedur operasi standard melibatkan hutan yang menjadi kawasan tadahan air.

"Isu pengurusan hutan boleh menjadi sensitif dan memberi kesan kepada penjualan hasil komoditi negara iaitu kelapa sawit. Ini berlaku apabila hutan simpan dibuka menjadi ladang besar dan negara asing memandang komoditi negara sebagai hasil daripada penebangan hutan dan enggan membeli komoditi tersebut. Tindakan ini boleh menjejaskan ekonomi negara," katanya.

Menurutnya, negeri-negeri sebelum ini merujuk kepada enakmen negeri dalam menguruskan hutan namun dengan adanya garis panduan, pengurusan hutan negeri-negeri boleh diseragamkan.

-- BERNAMA