SEKIRANYA kita ingin mewujudkan sebuah negara yang benar-benar bebas daripada jenayah rasuah serta salah guna kuasa semua pihak dalam negara kita perlu aktif memainkan peranan masing-masing, melakukan proses pemantauan serta tampil berani melaporkan sebarang kegiatan salah laku berkenaan kepada berkuasa seperti pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk proses siasatan lanjut dilakukan.

Orang ramai perlu sentiasa peka dengan keadaan sekeliling mereka serta perlu sentiasa rajin bertanya sekiranya terdapat sebarang perkara yang mencurigakan dan tidak masuk akal yang berlaku disekeliling mereka.

Antara perkara yang boleh memberi kecurigaan pada orang ramai ialah mengenai aspek gaya hidup mewah luar biasa atau keterlaluan yang sering dipamerkan oleh seseorang individu.

Gaya hidup mewah luar biasa atau keterlaluan yang ada pada mana-mana individu tanpa adanya sebab yang munasabah mengenai punca kekayaan dan kemewahaan yang dimiliki oleh mereka selalunya akan mengundang rasa syak wasangka atau perasaan curiga kepada semua setiap pihak yang masih mempunyai akal fikiran yang waras.

Malangnya, kebanyakan rasa syak wasangka dan perasaan curiga berkenaan hanya menjadi buah mulut serta cerita gosip semasa yang tidak membawa sebarang makna.

Oleh itu, adalah baiknya sekiranya rasa syak wasangka dan perasaan curiga berkenaan disalurkan kepada pihak berkuasa yang berkaitan seperti pihak PDRM ataupun SPRM untuk siasatan lanjut dilakukan dengan lebih teratur dan teliti mengikut peruntukkan undang-undang sedia ada dalam negara kita.

Sekiranya terdapat bukti yang mencukupi, pihak berkuasa yang terlibat boleh mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap pihak yang disyaki di dalam mahkamah.

Semenjak beberapa tahun kebelakangan ini seluruh negara telah digemparkan dengan pendedahan kes rasuah dan salah guna kuasa yang besar serta mengejutkan ramai pihak.

Antara yang masih berada dalam ingatan semua pihak termasuklah kes yang berlaku di Sabah pada penghujung tahun 2016 yang lalu dimana pihak SPRM yang telah merampas sejumlah wang RM114.5 juta daripada dua pegawai kanan sebuah agensi kerajaan yang didakwa menyalahgunakan kuasa membabitkan projek infrastruktur bernilai RM3.3 bilion sejak tahun 2010.

Di dalam kes berkenaan, pihak SPRM telah merampas sejumlah wang, 127 geran tanah, 9 kenderaan mewah, 94 beg tangan mewah, jam tangan mewah pelbagai jenama dan barang kemas.

Kes berkenaan dianggap sebagai kes terbesar dalam sejarah penguatkuasaan pencegahan rasuah oleh pihak SPRM.

Perlu diketahui, kebanyakan kes yang melibatkan rasuah serta penyalahgunaan kuasa yang melibatkan wang selalunya akan memberi kesan terhadap gaya hidup diri pelaku serta ahli keluarga rapat mereka.

Sudah menjadi fitrah setiap manusia untuk berbelanja serta menikmati gaya hidup yang lebih selesa setelah memiliki sejumlah wang.

Kebanyakan pelaku yang terlibat dalam jenayah rasuah serta salah guna kuasa akan mudah tergoda untuk berbelanja wang yang mereka perolehi serta gemar untuk menunjuk-nunjuk pada orang ramai terhadap segala kemewahan yang mereka miliki.

Dengan wujudnya media komunikasi sosial moden seperti Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter pada masa kini, segala usaha untuk tunjuk-menunjuk akan menjadi lebih mudah untuk dilakukan oleh pelaku serta ahli keluarga rapat mereka untuk tantapan umum.

Oleh yang demikian, orang ramai perlu tampil berani melaporkan sesuatu perkara yang mencurigakan pada pandangan dan pemikiran mereka kepada pihak berkuasa yang berkaitan.

Perubahan semacam cara hidup seseorang ke arah gaya kehidupan yang luar biasa mewah tanpa adanya sebarang sebab yang munasabah serta yang berlaku dalam sekelip mata boleh menjadi sebahagian daripada bahan bukti sekiranya seseorang itu memang terlibat di dalam jenayah rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Jika diteliti melalui pendedahan banyak kes rasuah atau salah guna kuasa yang berlaku di dalam negara kita khususnya yang melibatkan penjawat awam, suspek dilihat memiliki pelbagai barangan mewah luar biasa yang tidak mungkin dimiliki oleh mana-mana penjawat awam dalam negara kita.

Walaupun penjawat awam dalam negara kita mempunyai pendapatan yang boleh dikira agak tinggi namun dengan keadaan eknonomi serta kos sara hidup yang meningkat pada masa kini, pendapatan yang dimiliki hanya cukup bagi menampung sebuah kehidupan yang sederhana bukannya kehidupan yang mewah seperti seorang jutawan.

Sudah pasti mana-mana penjawat awam yang dilihat memiliki pakaian atau jam tangan berjenama yang mewah, barang kemas yang amat mahal, kereta besar yang mewah, serta kerap melancong bersama keluarga ke luar negara dengan menaiki pesawat kelas pertama akan menimbulkan rasa syak wasangka dan perasaan curiga dikalangan orang ramai.

Oleh itu, adalah lebih baik jika orang ramai bertanya mengenai sumber pendapatan yang dimiliki oleh individu berkenaan dan sekiranya jawapan yang diberikan tidak memberi sebarang keyakinan maka laporan boleh dibuat kepada pihak berkuasa seperti pihak PDRM ataupun SPRM untuk dilakukan proses siasatan lanjut terhadapnya.

Sekiranya terdapat kes kukuh untuk pendakwaan, perubahan semacam individu yang disyaki terlibat dalam kegiatan rasuah atau penyalahgunaan kuasa ini boleh digunakan kelak sebagai salah satu bahan bukti berdasarkan keadaan (circumstantial evidence) di dalam mahkamah seperti yang telah diperuntukkan dibawah Akta Keterangan 1950 [Akta 56].


* Dr Muzaffar Syah Mallow, Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah & Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

** Pandangan yang diutarakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak berkaitan dengan Astro AWANI.