"Saya dah tunggu dua hari tapi tiada siapa pun yang datang.

"Saya tunggu sebab mereka sudah berjanji," kata salah seorang gelandangan.

Gelandangan yang berasal dari Sungai Siput Perak itu mendakwa dia telah dijanjikan tiket pulang ke kampungnya oleh seorang pegawai dari Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM).

Namun menurutnya setelah dua hari, penantiannya hanya sia-sia.

"Dia (pegawai PERKIM) telah datang menemui saya dua hari lalu (Selasa) dan bertanyakan pelbagai maklumat diri.

"Apabila selesai sesi tersebut, dia berjanji akan memberikan tiket pulang berupa "waran" sebagai ganti kepada tiket asal," katanya.

Jelasnya dalam nada sedikit sayu, dia menanti sepanjang hari (Rabu) namun tiada seorang wakil pertubuhan yang datang menemuinya.

"Dia kata pegawai akan datang menggunakan kenderaan PERKIM dan berhenti di kawasan pertemuan awal.

"Saya tunggu dari pagi namun tiada satu kenderaan dengan tulisan PERKIM yang berhenti," katanya.

Dalam perbualan lanjut bersama wartawan Astro AWANI, dia yang berusia lewat 40-an, mengakui telah menjadi gelandangan di kawasan berhampiran Pudu Raya sejak lebih sebulan lalu.

"Saya datang Kuala Lumpur masa itu sebab nak cari kerja.

"Tapi usaha saya hanya sia-sia sebab jawatan tersebut telah diisi.

"Saya berhasrat untuk pulang namun gagal sebab duit saya tidak mencukupi," katanya.

Ceritanya lagi, dia telah cuba mengemis simpati orang ramai yang lalu lalang di Pudu Raya untuk duit tiket pulang namun tiada siapa yang memberi.

"Saya sudah cuba minta tapi mereka macam tidak percaya pada saya.

"Ada yang langsung tidak memberi reaksi walaupun saya menjelaskan bahawa saya akan membayar balik dengan menghubungi si penderma," katanya.

Tambahnya beberapa hari kemudian, dia telah kehabisan duit.

"Saya sudah tidak tahu kepada siapa lagi untuk saya mengadu," keluhnya dalam nada sedih.

Gelandangan yang hanya mahu dikenali sebagai "Mat" itu mendakwa dia telah dipelawa beberapa gelandangan yang mendiami kawasan sekitar Pudu Raya untuk berteduh bersama di kaki lima.

"Sejak dari detik itu sehinggalah malam ini, saya menjadi sebahagian dari mereka.

"Dalam tempoh itu saya telah ditahan pihak berkuasa sebanyak dua kali.

"Pertama kali dibawa ke Balai Polis Dang Wangi dan kali kedua mejalani ujian air kencing di kaki lima kawasan Pudu Raya," katanya lagi.

Dalam tinjauan yang dilakukan wartawan Astro AWANI, selain "Mat" terdapat lebih 30 lagi gelandangan yang menjadikan kaki lima bank terkemuka negara sebagai tempat berteduh seawal 10 malam setiap hari.

Selain warga emas dan wanita, kanak-kanak turut menjadi sebahagian warga gelandangan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Astro AWANI akan cuba mendapatkan penjelasan lanjut dakwaan "Mat" tersebut daripada PERKIM dalam waktu terdekat.