Selaras dengan lawatan Presiden Korea Selatan Moon Jae-In ke Malaysia, Agensi Promosi Pelaburan Perdagangan Korea (KOTRA) menganjurkan beberapa acara khusus untuk mengukuhkan kerjasama antara industri Malaysia dan Korea, terutamanya dalam industri halal.

“Buat masa ini, Korea Selatan mempunyai lebih 400 pengeluar produk halal. Pihak KOTRA ingin melihat industri ini berkembang ke pasaran Malaysia serta ke negara-negara Asia Tenggara lain,” kata Presiden KOTRA Kwon Pyung-oh.

Berikutan itu, KOTRA telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) Malaysia untuk meningkatkan mutu kolaborasi dua hala dalam industri tersebut.

Walaupun hubungan ekonomi dua hala antara kedua negara itu telah wujud sejak berdekad lalu, namun Kwon berpendapat bahawa ia masih perlu dikukuhkan lagi.

“Kolaborasi buat masa ini masih tidak cukup memandangkan hubungan ini ada potensi yang lebih besar dan banyak perkara yang boleh dilakukan untuk menambah baik hubungan tersebut,” tambah Kwon.

Antaranya adalah melalui pergabungan antara kedua ekonomi itu berdasarkan kekuatan masing-masing.

“Malaysia ada banyak kekuatan. Antaranya adalah faktor rakyatnya yang fasih berbahasa Inggeris serta faktor kepelbagaian dari segi bangsa dan kaum.

“Pada masa sama, Korea Selatan turut ada kekuatan sendiri terutamanya dalam sektor teknologi dan industri pengeluaran,” tegas beliau.

Oleh itu, kata Kwon, pergabungan antara kedua ekonomi itu boleh mendatangkan manfaat bagi ekonomi masing-masing dan menjadi antara sebab KOTRA berusaha untuk mengukuhkan kolaborasi Malaysia-Korea.

BACA: NCT di Malaysia: 'Walaupun tak nampak secara dekat, kita tetap teruja' - NCTzen

BACA: Demam K-Pop! NCT Dream sambut kedatangan Presiden Korea Selatan di One-Utama

Beliau berkata demikian pada acara Perkongsian Perniagaan Malaysia-Korea di ibu negara pada Rabu, di mana 12 Memorandum Persefahaman ditandatangani antara syarikat-syarikat Korea dan Malaysia.

Antaranya merupakan kerjasama Hyundai KEFICO yang akan membekalkan komponen sistem kenderaan kepada Tree Manufacturing Sdn Bhd untuk mengeluarkan kenderaan elektrik yang lebih mampan dengan harga berpatutan.

Pada Selasa, KOTRA turut menganjurkan ‘K-Wave & Halal Show in Malaysia’, satu acara persahabatan hasil kerjasama antara Malaysia dan Korea Selatan yang dihadir oleh kumpulan K-Pop NCT Dream dan penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.