Seekor gajah liar yang berkeliaran mencari makan termasuk durian di kebun penduduk kampung di Jalong, berjaya dipindahkan ke Hutan Simpan Royal Belum dalam satu operasi, pada Ahad.

Gajah liar berusia 13 tahun yang diberi nama Yeop Jalong itu berjaya ditangkap oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak pada 28 Jun lalu.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohamad Khairul Adha Mat Amin berkata, sejak awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), pihaknya menerima aduan mengenai beberapa ekor gajah dipercayai keluar dari Hutan Simpan Piah, untuk mencari makan dan minum.

"Hari ini sedikit mencabar sikit selain bentuk muka bumi, saiz gajah jantan itu yang dianggarkan seberat 1.5 tan selain menyukarkan proses untuk mengangkat binatang itu ke atas lori.

"Akhirnya selepas kira-kira satu jam, dengan menggunakan kemahiran dan kepakaran pasukan kita, Alhamdulillah kita berjaya," katanya ketika ditemui selepas operasi memindahkan gajah liar itu yang dibantu dua ekor gajah denak, Abot dan Rambai.


Saiz gajah jantan itu yang dianggarkan seberat 1.5 tan selain menyukarkan proses untuk mengangkat binatang itu ke atas lori. - Foto PERHILITAN Perak

Mohamad Khairul Adha berkata, ketika pasukan itu menjalankan operasi menjejaki Yeop Jalong itu, mereka mendapati kelibat lebih daripada seekor gajah.

"Jadi kita yakin kemungkinan ada sekor lagi (gajah) di kawasan ini dan kita akan sambung operasi dalam masa terdekat bagi mengesannya,” ujarnya.

Dalam pada itu, beberapa penduduk kampung yang ditemui memaklumkan, binatang itu tidak memusnahkan tanaman mereka sebaliknya hanya keluar mencari makanan.

Pemilik dusun buah-buahan, Huri Abdullah, 57, berkata, setakat ini, gajah liar itu telah memasuki kebunnya sebanyak dua kali.

“Apabila sampai di kebun, saya lihat ada tahi gajah yang masih baharu namun saya tidak mengambil kisah kerana beranggapan gajah itu hanya lalu sahaja.

“Tetapi setibanya di kebun saya mendapati dia (gajah) dah makan kira-kira 35 hingga 40 biji durian Musang King," katanya yang mengakui terkejut dengan kejadian itu.

Sementara itu, seorang pesara, Ahmad Termizi Sudin, 63 pula berkata, gangguan gajah sebenarnya telah bermula sejak tahun 60-an tetapi tidak begitu ketara.

“Cuma pada tahun 90-an sampai 2016, yang itu agak mencabarlah, gajah-gajah itu berkampung di sini tetapi selepas 2016, ini pertama kali kami tengok,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, gajah-gajah liar itu tidak memusnahkan tanaman, berbanding yang pernah berlaku sebelum tahun 2016 di mana banyak tanaman pisang, kelapa sawit dan kelapa milik orang kampung dimakan oleh haiwan itu.