Bangunan Bursa Malaysia Berhad (Bursa Malaysia) di Exchange Square di sini dikosongkan tengah hari tadi berikutan ancaman bom namun polis mengesahkan tiada objek mencurigakan ditemui.

Urus niaga berjalan seperti biasa dan sesi tengah hari dimulakan pada 2.30 petang.

Dalam satu kenyataan, Bursa Malaysia berkata pihak berkuasa telah dimaklumkan mengenai ancaman itu dan sebagai langkah berjaga-jaga, semua penghuni termasuk staf di bangunan 15 tingkat itu diminta mengosongkan bangunan dan Pelan Kesinambungan Perniagaan (BCP) diaktifkan.

Bernama mendapati ramai orang termasuk staf di bangunan itu berada di luar bangunan dan polis mengawal ketat sehingga 50 meter dari bangunan berkenaan.

Menurut Datuk N Sivakumar, pemegang amanah kuil Kortumalai Sri Ganesar yang terletak hampir 300 meter dari bangunan Bursa Malaysia, pihaknya menerima panggilan daripada pihak polis untuk mengosongkan bangunan kuil pada 1.45 tengah hari.

"Arahan mengosongkan bangunan dibuat berikutan ancaman bom di bangunan Bursa berkenaan," katanya ketika ditemui Bernama di lokasi berkenaan.

Setakat ini, pihak polis belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kejadian itu.

Sebelum itu, ketua pegawai eksekutif Bursa Malaysia Datuk Seri Tajuddin Atan berkata operatornya menerima panggilan ancaman bom pukul 12.01 tengah hari tadi.

"Kami terus memaklumkan kepada polis dan mengarah pekerja keluar daripada bangunan," katanya.

Kira-kira 1,000 kakitangan Bursa Malaysia, pelangannya dan orang lain keluar dari bangunan itu dengan serta merta sementara unit pemusnah bom bergegas ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

Seorang pekerja Bursa Malaysia yang mahu dikenali sebagai Syamim berkata dia bersama rakan-rakannya serta pelanggan terkejut apabila dimaklumkan mereka terpaksa meninggalkan bangunan itu kerana ada ancaman bom daripada pihak yang tidak dikenali.

"Sepanjang 10 tahun saya bekerja di sini, inilah kali pertama ancaman seperti ini diterima dalam bangunan ini," katanya.

Seorang pekerja bank di dalam bangunan itu P. Sruthi berkata dia juga panik dan terus melarikan diri dari bangunan itu.

"Saya harap tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya. -Bernama