Cubaan untuk membawa lari seekor lembu betina menggunakan kereta jenis Perodua Kancil gagal apabila kegiatan itu disedari dan berjaya dihalang oleh penduduk kampung.

Kejadian berkenaan berlaku di Kampung Bechah Terap, kira-kira jam 5 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pemilik haiwan ternakan berkenaan menyedari kehilangan lembunya itu yang ditambat di tepi tali air apabila dimaklumkan oleh rakannya.

Katanya, siasatan awal mendapati, penduduk kampung di kawasan itu ternampak sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang berada dalam keadaan mencurigakan membawa lari lembu peliharaan seorang penduduk.

"Tidak beberapa lama selepas itu, pemilik lembu berkenaan serta beberapa penduduk kampung terserempak dengan kereta yang dinaiki dua suspek dan menahan mereka di tepi jalan Kampung Padang Bembam.

"Bagaimanapun kedua-dua suspek melarikan diri ke dalam hutan dan hasil pemeriksaan menemui muatan seekor lembu di dalam kenderaan berkenaan," katanya.

Katanya, penduduk kampung cuba mencari dua suspek itu sekitar kampung berkenaan dan lebih kurang pada jam 10 pagi, salah seorang suspek berusia 43 tahun yang berada dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di Kampung Panjang berjaya ditangkap.

"Bagaimanapun, salah seorang daripada suspek berjaya melarikan diri.

"Penduduk kampung kemudiannya menghubungi pihak polis untuk menyerahkan suspek yang ditangkap itu bersama kenderaan yang dinaiki serta lembu yang dicuri," katanya.

Beliau berkata, turut dirampas satu telefon bimbit dan satu botol plastik yang di dalamnya mengandungi empat penyedut minuman.

"Kes disiasat dibawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.