Polis berjaya menahan empat lelaki disyaki aktif terlibat dalam kegiatan samun di sekitar Kajang, Selangor.

Tiga daripada mereka ditahan di Hulu Langat selepas polis menerima laporan kes samun melibatkan seorang wanita yang merupakan peniaga kedai runcit di Kampung Sungai Gahal, Batu 13, Hulu Langat.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, pihaknya menerima laporan daripada mangsa pada 6.29 petang, 14 Jun lalu.

"Ketika kejadian, tiga suspek berpura-pura mahu membeli air dan ais sebelum bertindak menarik seutas gelang tangan milik mangsa.

"Semasa cuba melarikan diri, kereta yang dipandu mereka terbabas berhampiran kedai runcit berkenaan dan orang awam telah berjaya menahan seorang daripada suspek manakala dua lagi sempat melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Ahmad Dzaffir berkata hasil soal siasat suspek, polis berjaya menjejaki tiga lagi suspek berusia 25 hingga 30 tahun di Hulu Langat pada hari sama.

"Polis turut merampas sebuah kereta, empat motosikal curi, 10 telefon bimbit pelbagai jenama, seutas rantai leher dan pelbagai barangan lain.

"Dengan tangkapan kumpulan ini, pihak polis telah berjaya menyelesaikan tiga kes samun dan empat kes curi motosikal," jelas beliau.

Polis bagaimanapun masih memburu seorang lagi suspek anggota kumpulan berkenaan dikenali sebagai 'Simba' dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Norazwan di nombor 013-3928357," ujar Ahmad Dzaffir.