Kementerian Kesihatan kecewa dengan tindakan gerakan antivaksin yang dikatakan antara faktor penularan semula penyakit berjangkit.

Beberapa penyakit seperti difteria, demam campak, beguk atau mums, dan rubela boleh dielakkan melalui pemberian vaksin.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata adalah sesuatu yang malang seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun satu bulan di Johor Bahru meninggal dunia disyaki akibat jangkitan difteria pada 21 Februari lalu.

Kanak-kanak tersebut dikatakan tidak menerima sebarang imunisasi sejak lahir.

"Masih ada segelintir ibu bapa yang terpengaruh dengan gerakan antivaksin ini kerana mereka tidak faham bahawa sebenarnya vaksin yang digunakan di Malaysia adalah selamat dan vaksin-vaksin yang digunakan juga terbukti keberkesanan melalui ujian dan kajian saintifik yang agak menyeluruh.

"Jadi walaupun kita tahu ada sebahagian kecil ada side effect (kesan sampingan) yang tak serius, tetapi kita juga tahu vaksin ini adalah penting untuk kita mencegah penyakit-penyakit seperti difteria, seperti measles (campak), mums (beguk) dan rubela.

"Kita juga ambil perhatian bahawa tahap vaksin untuk measles ada menurun sikit, jadi kita akan ambil perhatianlah dan mempertingkatkan promosi, penerangan kepada ibu bapa kepentingan untuk vaksin," kata Dr Lee.

Beliau ditemui selepas merasmikan belon gergasi dan risalah kempen jom hapus aedes di Ipoh pada Ahad.