Kerajaan pada Jumaat mengumumkan pemberian geran dan pinjaman berjumlah RM700 juta kepada syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peringkat pertengahan.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia bagi membolehkan lebih banyak syarikat PKS melanggan atau menggunakan perkhidmatan berkaitan digitalisasi perniagaan.

"Ini termasuk pertama: RM100 juta Geran Padanan Digital PKS yang akan disediakan dengan kerjasama syarikat telekomunikasi; kedua: RM500 juta di bawah Dana Transformasi Teknologi PKS sebagai pinjaman mudah.

"Ketiga: RM100 juta Geran Automasi Pintar, di mana setiap syarikat yang layak akan menerima geran sehingga RM1 juta," kata beliau dalam Perutusan Khas Pelan Pemulihan Ekonomi (ERP) Jangka Pendek, di sini pada Jumaat.

Dalam usaha mendorong perusahaan mikro dan PKS beralih kepada khidmat digital atau dalam talian, beliau berkata kerajaan bersama sektor swasta turut akan membiayai usaha tersebut melalui geran padanan sebanyak RM140 juta.

Peruntukan ini akan digunakan untuk sesi latihan, subsidi penjual dan bantuan penjualan, katanya.

Beliau berkata, inisiatif ini akan diterajui oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bersama platform e-dagang yang terpilih.

Selain itu, jelas beliau, sektor perbankan juga menawarkan dana tambahan sebanyak RM2 bilion melalui Skim Pembiayaan PKS PENJANA dalam usaha membantu kelangsungan PKS yang terlibat dalam sektor penting yang disasarkan.

Katanya, pembiayaan tersebut boleh dipohon mulai pertengahan Jun ini dengan had sehingga RM500,000 bagi setiap PKS.