Gesekan biola Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali pada Majlis Makan Malam Gala Kelab Alumni Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Mary malam ini berjaya memukau lebih 1,000 hadirin.

Pada majlis tersebut, isteri Perdana Menteri itu mempersembahkan tiga buah lagu iaitu 'Secret Garden', 'You Raise Me Up' dan 'Que Sera Sera' diiringi guru biolanya, Winnie Cheah serta pemain piano, Nor Raina Yeong Abdullah yang menyaksikan hadirin berdiri memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda penghormatan.

Terdahulu, Dr Siti Hasmah yang juga alumni SMK St Mary dalam ucapannya berkata beliau berhenti bermain biola sewaktu umurnya 16 tahun untuk memberi fokus kepada pengajiannya dan kemudian kembali menggesek biola pada umur 86 tahun.

"Ia membuktikan usia tidak menghalang sesiapa sahaja daripada mengejar impian," katanya.

Beliau turut berkongsi kenangannya semasa menuntut di sekolah St Mary sewaktu beliau menduduki peperiksaan kertas akhir Senior Cambridge Examination pada tahun 1941.

"Pada hari itu, bom dijatuhkan ke Singapura serta di Pulau Pinang dan tentera Jepun menyeberangi sempadan ke Kelantan.

"Pengalaman ini dapat dilihat dalam tema majlis makan malam gala ini iaitu ' United and Strong: Past and Present'," katanya.

Pada majlis itu juga, Dr Siti Hasmah diberi kejutan sempena hari kelahirannya yang ke-93 yang bakal disambut pada 12 Julai ini.

Sementara itu, Presiden Kelab Alumni SMK St Mary, Cynthia Wan Mai Gan berkata majlis makan malam gala yang bertujuan mengumpul dana bagi SMK St Mary dan Sekolah Rendah (SK) St Mary itu berjaya meraih lebih RM140,000.

"Dana ini diperlukan untuk operasi Pusat Seni Hospitaliti dan Kulinari Saleha (SHCAC) di SMK St Mary termasuk menggaji guru yang mengajar memasak dan bagi SK St Mary pula, dana ini diperlukan bagi membolehkan pelajar mempunyai pengalaman pembelajaran yang lebih efektif," katanya.

-- BERNAMA