Majlis Amanah Rakyat (MARA) diberi peranan untuk menjadi peneraju kepada tenaga kerja pakar dalam bidang keretapi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkembangan pesat industri keretapi negara menerusi projek kerajaan memerlukan tenaga kerja dalam bidang berkenaan.

“Seperti kita tahu, kita sering bercakap tentang tren, LRT, MRT dan lain-lain, tapi ini memerlukan pakar yang ramai, dalam masa sama kita import pakar dari luar.

“Sudah sampai masanya, UniKL sudah pun ada kursus berkenaan keretapi ini di peringkat universiti dan GiatMARA sudah pun diberi peranan melatih belia-belia kita di peringkat bawah dan pertengahan.

“Ini bermakna, MARA akan membekalkan tenaga pakar bagi projek-projek berkaitan keretapi,” katanya dalam satu sidang media semasa majlis sambutan rumah terbuka Aidilfitri GiatMARA di Kuala Lumpur pada Khamis.

Jelasnya pengambilan kumpulan pertama latihan industri keretapi bermula Julai ini yang menawarkan 760 tempat di peringkat sijil.

Tambahnya, kursus tersebut akan berpusat di Pahang dengan kerjasama membabitkan Malaysia Rail Link serta Universiti Malaysia Pahang.