Tutup

Gilap semula Rukun Negara - Perwakilan UMNO Wilayah

Gilap semula Rukun Negara - Perwakilan UMNO Wilayah
MAHADIR: Masa depan kita bergantung kepada penghayatan semua terhadap rohnya.Rukunegara ini ibarat rumah kita, kitalah yang perlu memeliharanya. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR : UMNO perlu memimpin usaha menggilap semula Rukun Negara yang menjadi asas kehidupan negara, ujar Perwakilan UMNO Wilayah Persekutuan, Mahadir Sulaiman.

Tegasnya, ia berikutan tiang seri negara itu tidak lagi dihormati dan cuba dirobek pihak-pihak tertentu.

Peluang itu perlu digunakan UMNO sebaik mungkin lebih-lebih lagi dalam keadaan parti dalam kerajaan sedang berbalah sesama sendiri.

"Di kala kita menyaksikan parti sebelah sana sedang berkuntau dan bertumbuk, eloklah UMNO mengingatkan semula semua pihak dengan asas berkehidupan dan bernegara di tanah air kita yang tercinta ini.
"Keadaan ini menyerlahkan (perlunya usaha) di mana rukun negara tiang seri yang hari ini harus dirawat dan dilestarikan semula. Sudah tiba masanya, UMNO memimpin usaha menggilap semula rukun negara di tengah kehidupan pelbagai bangsa dan agama," katanya semasa membahaskan Ucapan Dasar Presiden pada Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.

Malah katanya, usaha menggilap Rukun Negara bukan sesuatu yang boleh ditawar- menawar.
"Ia bukan sesuatu yang boleh ditawar-menawar. Masa depan kita bergantung kepada penghayatan semua terhadap rohnya. Rukun Negara ini ibarat rumah kita, kitalah yang perlu memeliharanya," ujar beliau.

Katanya, Rukun Negara adalah tonggak sejarah sejak 1970 dan ia melindungi negara daripada kancah konflik.

"(Jika tidak dilindungi) maka akan menjadi seperti negara lain yang mula hidup dalam peperangan. Kerosakan ini adalah sebab Rukun Negara tidak lagi dihormati termasuklah baru-baru ini ada yang menyanyi lagu Negaraku dalam bahasa ibunda mereka," tambahnya lagi.

Ujar beliau, kepentingan rakyat hari ini tidak lagi dilihat menjadi keutamaan kerajaan.

"Melayu dulu gagah di bawah UMNO. Hari ini sudah hilang maruah dan harga diri kononnya. Hampir merempat di tanah sendiri.

"Segala kemakmuran dirobek oleh PH. Mereka sudah macam tanpa tamadun hidup di Malaysia.

"Undang-undang dibuat sesuka hati, kepentingan rakyat tidak menjadi keutamaan, sebaliknya kerajaan yang ditunjangi DAP menjadi rakus sehingga mengetepikan rukun negara yang kita bina dahulu bagi maksud memandu rakyat secara hidup harmoni selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei," tegas beliau.


Tag: UMNO, PWTC, PAU2019, Gilap semula Rukun Negara, Perwakilan UMNO Wilayah, Mahadir Sulaiman



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.