Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yakin bahawa golongan belia berusia 18 tahun sudah cukup matang untuk diberi hak dan tanggungjawab sebagai pengundi di Malaysia.

Menurut Dr Mahathir, kumpulan tersebut sudah terdedah kepada maklumat dan perkembangan semasa berbanding golongan belia pada eranya.

Justeru, kata Ahli Parlimen Langkawi itu, golongan tersebut lebih mendewasa awal.

“Kalau dulu pada zaman saya, mungkin umur 20 tahun tidak pergi ke mana-mana dan duduk di Alor Setar sahaja, tidak tahu apa yang berlaku di tempat lain.

“Berita pun tidak cukup, video pun sikit (dan) laporan (berita di) televisyen tiada (pada zaman 60-an).

“(Berbanding sekarang) Maklumat datang dalam pelbagai bentuk. Dia (golongan belia) boleh baca buku, dia boleh tengok wayang, boleh ikuti website dan macam-macam lagi untuk mendapatkan pengetahuan yang lebih luas,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Terdahulu, Dr Mahathir selesai membentangkan Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Beliau sebelum ini melahirkan keyakinannya bahawa pindaan perlembagaan itu bakal mendapat sokongan dua pertiga ahli Dewan Rakyat, dengan blok pembangkang telah menyatakan komitmen untuk menyokong pindaan berkenaan.

RUU itu bercadang meminda perenggan (b) Perkara 47 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur warganegara yang layak untuk menjadi ahli Dewan Rakyat daripada 21 kepada 18 tahun.

Ia juga bertujuan meminda perenggan (a) Fasal 1 Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan untuk menurunkan umur seseorang warganegara yang layak untuk mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

Pindaan ini akan membenarkan lebih ramai warganegara Malaysia mengundi.