Golongan pesawah di seluruh negara diingatkan supaya tidak menggunakan benih padi yang tidak sah atau yang tidak berdaftar di bawah Skim Pengesahan Benih Padi (SPBP) bagi mengelak diserang penyakit Hawar Bulir Bakteria (BPB).

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin berkata, kegagalan petani mematuhi arahan itu boleh menyebabkan hasil padi berkurangan sehingga 70 peratus selain berisiko percampuran varieti, pencemaran benih rumpai dan berpenyakit.

"Penyakit BPB telah mengancam industri penanaman padi dan merebak ke seluruh negara. Ia mampu menjejaskan sebanyak 70 sehingga 75 peratus hasil padi.

"sehingga 20 Mac tahun ini, sebanyak 653 hektar daripada 12,780 hektar kawasan sawah padi di negeri ini terjejas dengan BPB. Bagaimanapun ia masih terkawal," katanya.

Sim berkata demikian pada satu sidang media selepas merasmikan Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Negeri Pulau Pinang 2019, di sini hari ini.

Katanya, penggunaan benih padi yang sah adalah amalan pertanian yang baik bagi memastikan pengeluaran padi daripada sumber benih yang berkualiti, menjamin ketulenan varieti serta mengurangkan populasi padi angin.

Mengulas kempen yang dijalankan, Sim berkata, ia bagi memberi informasi dan kesedaran kepada petani mengenai pentingnya penggunaan padi yang sah dalam mengawal serangan dan penularan wabak penyakit berkenaan.

Tegasnya, benih padi yang sah dikawal pengeluarannya mengikut prosedur di bawah Skim Pengesahan Benih Padi Jabatan Pertanian serta mendapat kelulusan daripada Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Malah, tambahnya, satu jawatankuasa petugas khas telah ditubuhkan sebelum ini bagi memantau, menyelaras dan menilai tindakan bagi mengawal serangan BPB.

Dalam pada itu, Sim berkata, kerajaan menetapkan pengeluaran benih padi sebanyak 72,000 metrik tan setahun bagi memenuhi keperluan penanaman kawasan padi seluas 284,000 hektar di seluruh negara.

Katanya, bagi keperluan benih di Pulau Pinang untuk musim pertama 2019, sebanyak 1,789 metrik tan benih padi sah dikeluarkan untuk 5,312 pesawah padi di negeri itu.