Mana-mana pihak swasta yang mahu mengambil alih PLUS Malaysia Bhd (PLUS) dialu-alukan berbuat demikian sekiranya mereka mampu sama ada menghapus atau mengurangkan kadar tol.
Namun, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali optimis tidak ada mana-mana syarikat swasta yang mampu berbuat demikian lantaran mementingkan keuntungan berbanding kepentingan rakyat.
“Sekarang PLUS dimiliki Khazanah (Khazanah Nasional Berhad) dengan pegangan 51 peratus dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) sebanyak 49 peratus. Kenapa mahu swastakan?
“Kalau jual PLUS pada pihak swasta yang akan mengenakan tol dan menaikkan kadar tol, ia tidak memenuhi kehendak manifesto Pakatan Harapan.
“Pendirian Khazanah jelas, apakah pihak yang membeli PLUS boleh menjamin akan mengurangkan kadar tol atau menghapuskan tol? Sudah tentu tidak kerana pihak swasta nak beli sesuatu yang boleh beri keuntungan.
“Kita bukan soal keuntungan, sebaliknya Khazanah dan KWSP mahu beri perkhidmatan kepada pengguna jalan raya, kecuali ada pihak swasta nak beli dan nak hapuskan tol. Good luck kalau kamu boleh (hapuskan tol),” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan hari ini, bahawa dana pelaburan negara itu tidak berminat menjual PLUS, yang juga syarikat konsesi lebuh raya terbesar di Malaysia.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan belum menerima cadangan yang menarik setakat ini berhubung tawaran pengambilalihan PLUS, meskipun menerima empat cadangan daripada pihak swasta.