Syarikat E-hailing terbesar Asia Tenggara, Grab akui terkejut dengan cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) yang ingin mengenakan denda sebanyak RM86.77 juta.

Syarikat itu turut mendakwa bahawa tidak wujud sebarang penindasan selain sentiasa mematuhi syarat yang ditetapkan menerusi Akta Persaingan 2010.

“Kami terkejut dengan keputusan cadangan yang kami terima pagi ini.

“Oleh itu, peguam kami sedang mengkaji keputusan yang dicadangkan dan kami percaya bahawa ia adalah perkara biasa bagi sebuah perniagaan untuk menentukan ketersediaan dan jenis pengiklanan pihak ketiga di platform masing-masing, disesuaikan mengikut keperluan dan maklum balas pengguna,” kata Grab dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, syarikat itu akan mengambil tindakan dengan menghantar representasi bertulis kepada pihak MyCC menjelang 27 November ini.

Ia berikutan kepada cadangan MyCC yang ingin mengenakan hukuman denda RM86.77 juta serta penalti kewangan harian sebanyak RM15,000 sehari bermula hari ini.

Dalam masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail menekankan bahawa itu bukan keputusan muktamad dan Grab mempunyai peluang untuk mengemukakan pembelaannya dalam masa yang akan ditetapkan.

Keputusan cadangan yang dikeluarkan ini, selaras dengan Seksyen 36 AP 2010, adalah notis bertulis menyatakan fakta-fakta yang membolehkan MyCC menilai dan menyatakan sebab-sebab untuk keputusan cadangannya.

Ia dikeluarkan kepada syarikat-syarikat terbabit bagi membantu mengemukakan representasi serta apa-apa maklumat lain bagi menyokong representasi mereka kepada MyCC.

Grab yang pada asalnya dikenali sebagai MyTeksi, kini menjadi penyumbang ekonomi di Asia Tenggara dengan anggaran sebanyak AS$5.8 bilion (RM24.2 billion) dalam tempoh setahun.

Selain itu, lebih sembilan juta usahawan mikro atau kira-kira satu daripada 70 rakyat di Asia Tenggara telah memperoleh pendapatan melalui platform Grab.

BACA: MyCC cadang Grab didenda RM86 juta akibat menindas