Graduan pada masa hadapan akan berubah daripada pencari pekerjaan (job seeker) kepada pencipta pekerjaan (job creator), kata Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh.

“Dalam erti kata lain, pada masa hadapan, graduan-graduan lepasan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) tidak lagi bergantung kepada pekerjaan di sektor kerajaan atau swasta semata-mata, tetapi mereka berupaya mencipta pekerjaan untuk orang lain,” kata Idris.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Hasbullah Osman (BN-Gerik) mengenai gambaran masa hadapan sistem pendidikan tinggi negara daripada segi pelajar yang dihasilkan, pensyarah serta penyelidikan oleh universiti.

Selain itu, kata Idris, IPTA pada masa hadapan juga akan lebih berfungsi sebagai institusi penyelidikan berbanding institusi pengajaran semata-mata.

“Mobiliti dan program pertukaran pensyarah berdasarkan meritokrasi juga akan diwujudkan bagi menggalakkan kerjasama yang lebih berkesan antara insititusi dan agensi,” jelas Idris.

Oleh itu, tambah Idris, beberapa langkah telahpun dilaksanakan dalam menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan seperti meningkatkan lagi kualiti keseluruhan program akademik dan kepakaran agar dapat menarik pelajar antarabangsa yang cemerlang.

“Selain itu, langkah ini juga penting bagi membangunkan bidang-bidang tujahan (niche area) yang menjadi pilihan daripada semasa ke semasa,” kata Idris.

Pada masa ini, terdapat seramai 107,838 pelajar antarabangsa yang sedang mengikuti pengajian di IPT Malaysia di mana 27,812 daripadanya merupakan pelajar program Sarjana dan PhD.