Graduan kaum India dan perempuan bertudung antara kumpulan yang paling tertindas dalam proses pengambilan pekerja bagi sektor swasta, menurut kajian terbaharu oleh pusat penyelidikan swasta Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS).

“Adakah diskriminasi etnik wujud? Ya, namun bukan sahaja bagi kaum Melayu, tetapi kumpulan etnik India yang paling ditindas,” kata penyelidik Cent-GPS, Zaidel Baharuddin.

Bagi membuktikan berlaku penindasan dalam isu ini, Zaidel berkata, Cent-GPS tidak hanya melakukan kajian secara rambang, sebaliknya, pihaknya turut mengambil inisiatif melalui pengalaman ditindas.

Untuk itu, beliau berkata, dua kakitangan Cent-GPS berbangsa Melayu yang terdiri daripada seorang lelaki dan perempuan telah diberi tugasan 'berlakon' sebagai tujuh individu lain yang mewakili jantina dan kumpulan kaum berbeza dalam resume mereka.

Bagaimanapun, jelasnya, kelayakan akademik, penguasaan bahasa dan pengalaman bekerja mereka setaraf dari segi kelayakan dalam tuntutan kerjaya.

Hasil kaji selidik Cent-GPS itu, kata Zaidel, mendapati individu yang paling kurang dipanggil temuduga ialah lelaki India diikuti oleh lelaki Melayu, perempuan India dan perempuan Melayu bertudung.

Menurut Zaidel, dalam kajian itu, sebanyak 3,289 resume telah dihantar bermula Disember 2018 hingga Februari 2019.

Kesemua jumlah resume itu mewakili permohonan tujuh individu berkenaan yang watak mereka dilakonkan oleh dua kakitangan Cent-GPS.

"Setiap seorang (daripada tujuh individu) menghantar sebanyak 547 resume kepada pelbagai syarikat memohon pekerjaan. Kesemua resume berkenaan memaklumkan pemohon mempunyai latar belakang akademik atau lulusan perniagaan," ujar Zaidel lagi.

 INILAH wajah tujuh watak yang dilakonkan oleh dua kakitangan Cent-GPS untuk membuktikan berlakunya diskriminasi kaum dalam proses pengambilan pekerja. - Gambar Cent-GPS


Zaidel juga berkata, kajian Cent-GPS mendapati, pemohon kaum Cina paling banyak mendapat panggilan temuduga.

Bukti itu diperoleh berdasarkan pengalaman kakitangan Cent-GPS yang berlakon sebagai seorang individu berbangsa Tionghua bernama 'Nicola Yeoh'.

Resume 'Nicola Yeoh' sangat laku sehingga dia dipanggil menghadiri temuduga sebanyak 240 kali manakala individu lelaki Cina bernama 'Gabriel Liew’ pula dipanggil 179 kali temuduga daripada 547 permohonan yang dihantar.

Bagi pemohon kaum India bernama ‘Thivakar’, dia perlu memohon sebanyak 28 kali untuk mendapat satu panggilan temuduga manakala ‘Nicola’ hanya perlu memohon dua kali untuk mendapat satu temuduga.

Selain itu, kajian Cent-GPS mendapati pemohon perempuan bertudung juga menerima nasib yang sama.

“Pemakaian hijab memainkan peranan untuk graduan wanita memohon pekerjaan,” tegas Zaidel.

Kajian firma berkenaan mendapati perempuan Melayu bertudung hanya mendapat 50 panggilan temuduga daripada 547 pemohonan berbanding perempuan Melayu tidak bertudung yang mendapat 70 panggilan temuduga.



Antara penemuan lain daripada kajian itu yang turut menarik perhatian adalah faktor kefasihan dalam bahasa Mandarin.

Walaupun sesetengah persepsi menyatakan bahawa kekuatan berbahasa Mandarin yang menjadi kelebihan bagi graduan kaum Cina, namun kesemua tujuh pemohon turut fasih berbahasa Mandarin dan masih gagal mendapat kadar panggilan temuduga yang setaraf dengan pemohon kaum Cina.

Berikutan kajian itu, Cent-GPS menyarankan agar syarikat-syarikat swasta mengambil iktibar untuk mengurangkan jurang peluang pekerjaan antara kaum.

“Pihak swastu perlu sedar bahawa mereka yang rugi dan kehilangan bakat apabila kaum-kaum tertentu diabaikan hanya sebab warna kulit mereka yang berbeza,” tambah Zaidel.

Cent-GPS menegaskan, kerajaan juga tidak patut menetapkan kuota etnik dalam sektor swasta, sebaliknya, menawarkan insentif kepada pihak swasta serta menggunakan kuasa pasaran untuk menegakkan keadilan bagi semua kaum.