Graduan yang menyertai latihan Skim Latihan 1Malaysia (SL1M) akan ditawarkan pekerjaan ke syarikat milik kerajaan (GLC) lain seandainya pilihan pertama mereka untuk bekerja ditolak.

Ketua Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Rahamat Bivi Yusoff berkata, ia membuka saingan antara graduan untuk sekali gus membuktikan kualiti dan kemampuan kumpulan berkenaan.

Jelasnya, jenama SL1M kini sudah diterima syarikat GLC selain swasta yang mengiktiraf graduan berkenaan.

"Ia bukan graduan tidak bagus atau mereka tidak sesuai dan sebagainya, malah graduan dengan latihan SL1M adalah yang dicari.

"Selepas menjalani latihan SL1M mereka akan tahu sama ada pekerjaan itu sesuai atau tidak dengan kehendak, kita tidak ada masalah untuk menyerapkan mereka ke syarikat GLC.

"Sebagai contoh, kalau Khazanah tidak terima, mereka akan dihantar ke GLC lain kerana jenama SL1M ini sudah diketahui dengan latihan yang diterima graduan berkenaan," katanya semasa sidang media Program Temu Duga Terbuka SL1M peringkat Zon Utara dan Festival Keusahawanan Industri Asas Tani 2017 untuk Rakyat di Zon Utara di sini hari ini.

BACA: PM Najib gesa syarikat senaraian awam sertai SL1M

TONTON:
SL1M bantu 99 ribu graduan sejak 2011

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri Kedah Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Sekretariat SL1M Norashikin Ismail.

Program yang akan diadakan pada 5 dan 6 Mei dan bertempat di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar itu akan menawarkan ribuan peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan.

Sesi temu duga akan diadakan terus oleh 60 pihak syarikat terlibat.

SL1M turut menjangkakan kehadiran seramai 15,000 pengunjung dalam program yang menawarkan kira-kira 8,000 peluang pekerjaan berkenaan.

Selain itu, selebriti seperti penyanyi Faizal Tahir, kumpulan lawak Zero dan penampilan eksklusif pemain bola sepak Kedah FA, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali akan menjadi tarikan pada program berkenaan.

Dalam pada itu jelas Rahamat, isu pengangguran dalam kalangan graduan khasnya bumiputera ini berpunca daripada sikap memilih.

"Salah satu adalah faktor takut untuk keluar dari zon selesa. Contohnya tidak mahu berhijrah jauh dari kampung halaman.

"Graduan wajar mengubah cara pemikiran dan sikap untuk menyahut cabaran, berani berdikari untuk keluar dari kepompong keselesaan dan mahu tempat kerja yang berdekatan dengan kediaman," ujarnya.

Sejak diperkenalkan enam tahun lalu, SL1M di bawah Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri telah berjaya membantu lebih100,000 graduan meningkatkan kebolehpasaran mereka seterusnya mendapatkan pekerjaan terutama yang berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan dari luar bandar.