Tahap perjawatan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dinaikkan kepada Turus 3.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika mengumumkan perkara tersebut berkata keputusan itu merupakan hasil mesyuarat Suruhanjaya Polis yang dipengerusikannya baru-baru ini.

"Kerajaan juga melalui Suruhanjaya Pasukan Polis memutuskan untuk mengekalkan Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sebagai Timbalan Ketua Polis Negara tetapi menaikkan perwatannya kepada Turus 3.

"Kerajaan juga melalui Suruhanjaya Pasukan Polis memutuskan melantik Pesuruhjaya Polis Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff sebagai Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman yang baharu," katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Tugas Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Nur Jazlan dan Timbalan Menteri KDN II, Datuk Masir Kujat.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengumumkan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun dilantik menjadi Ketua Polis Negara ke-11 menggantikan Tan Sri Khalid Abu Bakar yang bersara mulai Isnin.

Sementara itu, Khalid dalam ucapannya berkata beliau telah memberikan yang terbaik sepanjang bertugas di PDRM.

"Saya berpegang kepada satu istiqamah, iaitu kesetiaan. Saya amat yakin bahawa apabila wujud taat setia yang tidak berbelah bagi dan komitmen menjadi pendampingnya, InsyaAllah kejayaan akan menjadi milik kita.

"Kini, apabila sudah tiba saat dan ketikanya untuk saya meninggalkan pasukan, saya menerima ketentuan tersebut dengan penuh kerelaan dan keredaan.

"Sesungguhnya, I have given my all and my best, dan tiada apa-apa lagi yang boleh dianggap sebagai unfinished business yang perlu saya langsaikan," jelasnya.

Khalid dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013 menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat perlantikan secara kontrak.