Penggunaan grup WhatsApp sebagai saluran komunikasi di tempat kerja merupakan satu pendekatan yang baik.

Namun, menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh, ia tertakluk kepada cara penggunaan aplikasi tersebut.

“Grup WhatsApp adalah pendekatan yang baik tetapi bergantung kepada bagaimana cara ia digunakan," katanya ketika mengulas kenyataan seorang senator.

MESTI BACA: Baik dan buruk WhatsApp: 7 jenis group WhatsApp paling lazim

Pada Khamis, Senator Datuk Mariany Mohammad Yit berkata terdapat rungutan oleh kelompok penjawat awam yang mendakwa penggunaan aplikasi sosial itu turut menjejaskan kualiti masa bersama keluarga dan waktu rehat mereka.

Idris ditemui selepas merasmikan Persidangan Membina Tenaga Kerja Berkesan (ENGAGE 2016) yang berlangsung di Hotel Eastin, di sini, hari ini.

Antara lain, Persidangan ENGAGE 2016 bertujuan untuk meningkatkan kesedaran akan pentingnya kemahiran mendekati pekerja oleh para majikan dalam melahirkan tenaga kerja yang baik, mantap dan mampan.

Pada masa yang sama, beliau turut berkongsi pendekatan makan tengah hari setiap minggu yang dilakukannya sebagai inisiatif mendekati kalangan pekerja di kementeriannya.

“Setiap Rabu, tidak seperti kementerian yang lain, saya mengadakan sebuah program yang dipanggil 'Makan Tengahari Bersama Muzik' yang diadakan pada waktu antara kabinet.

“Ini adalah bagaimana saya berhubung dan mendekati pekerja, tidak kira apa pun pangkat,” kata Idris.

Persidangan pada Jumaat ini dihadiri oleh lebih 50 majikan seluruh Malaysia.