Tutup

GST: FOMCA terima 600 aduan pengguna

GST: FOMCA terima 600 aduan pengguna
Sejak implementasi Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)pada April 1, Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menerima kira-kira 600 aduan melalui pusat aduannya.
KUALA LUMPUR: Sejak pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April, Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) telah menerima kira-kira 600 aduan melalui pusat aduannya.

Setiausaha Agung FOMCA, Datuk Paul Selvaraj berkata antara aduan yang paling banyak diterima adalah berhubung keengganan pekedai untuk mengeluarkan resit.
"Apabila pengguna minta resit pun dia tidak bagi. Dan tidak jelas sekiranya mereka layak untuk tuntut GST. Ini adalah antara aduan-aduan yang diterima," katanya kepada Astro AWANI hari ini.

Selain itu, kekeliruan dalam kalangan pengguna tentang barangan yang dikenakan atau dikecualikan GST dimanipulasi pekedai yang tamak.
"Ada beberapa kedai pula, barangan yang tiada GST dikenakan GST. Ramai keliru antara 'standard rated' dan 'zero rated'.

"Kita juga mendapat dapat aduan dari luar bandar bahawa banyak kedai tiada tanda.

Paul berkata aduan yang diterima akan disalurkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

"Mereka ada pegawai penguatkuasa, ada undang-undang yang boleh dilaksanakan. Terpulang kepada mereka untuk mengambil tindakan seterusnya," katanya.

Sementara itu, semasa mengulas mengenai restoran dan hotel yang mengenakan caj perkhidmatan, Paul berkata ianya adalah sesuatu yang tidak adil untuk pengguna.

"Sudahlah kita bayar untuk makanan, takkanlah kita bayar dua kali untuk caj perkhidmatan. Tambah lagi, caj perkhidmatan pun kena GST. Maka kita setuju sepenuhnya caj perkhidmatan dihapuskan di semua tempat makan," katanya.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Seri Alias Ahmad berkata semua restoran dan hotel tidak lagi dibenarkan mengenakan caj perkhidmatan kepada pelanggan sekiranya tidak mempunyai perjanjian bersama di antara pekerja dan majikan.

Beliau juga dilaporkan berkata peniaga diwajibkan mempamerkan notis perkhidmatan yang diberikan kepada pelanggan sekiranya mahu mengenakan caj perkhidmatan.

Hari ini pula, Menteri KPDNKK, Datuk Seri Hasan Malek berkata kementeriannya bercadang mengeluarkan pensijilan khas untuk restoran dan hotel yang boleh mengenakan caj terhadap perkhidmatan mereka.

Hasan berkata, sijil berkenaan adalah langkah sementara bagi memastikan penyelesaian jangka panjang dapat diambil.

Menurutnya, tindakan itu dibuat berikutan wujudnya kekeliruan dalam kalangan pengguna yang tidak berpuas hati apabila terpaksa membayar caj servis termasuk caj GST.