Tutup

GST: Tak ada sebab kembalikan cukai ditolak rakyat - Tun Mahathir

GST: Tak ada sebab kembalikan cukai ditolak rakyat - Tun Mahathir
Dr Mahathir berkata Kerajaan akan sentiasa menambah baik dan mengurus SST, sekali gus meningkatkan hasil negara. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tiada sebab untuk mengembalikan semula Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang ditolak oleh rakyat

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata sebaliknya Kerajaan akan sentiasa menambah baik dan mengurus Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), sekali gus meningkatkan hasil negara.

“Sebuah kerajaan perlu kenakan cukai untuk mengumpul dana bagi pentadbiran negara. Jadi banyak jenis cukai diperkenalkan.

“Cukai GST diperkenal (Kerajaan) dahulu. Kita dengar banyak rintihan oleh rakyat kerana mereka kerap kali perlu membayar cukai dua kali.
“(Peniaga) tunggu bayaran semula, tapi tak sampai-sampai. Jadi kita (Pakatan Harapan) melihat perlu kembalikan semula SST.

“Ia sedang berjalan dengan baik, namun kita perlu perbaik lagi pelaksanaan cukai baharu ini dan sebab itu kita (Kerajaan) tak ada sebab untuk mengembalikan semula cukai yang ditolak rakyat dahulu,” katanya pada sesi soal jawab menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan daripada Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang bertanyakan berkenaan hala tuju lanjut Kerajaan berkenaan isu percukaian di negara ini.

Menjawab soalan asal oleh Ma’mun, Dr Mahathir berkata perubahan sistem percukaian yang kerap tidak wajar dilakukan kerana ia mengurangkan keyakinan pelabur.

“Berhubung dengan cadangan pelaksanaan semula GST, didapati ia memerlukan kajian yang lebih lanjut.

Penelitian perlu dibuat terutamanya ke atas impak kesan kenaikan harga kepada pengguna, kadar inflasi dan pertambahan kos pematuhan kepada peniaga kerana terdapat keperluan untuk mengubah sistem perkomputeran dan latihan semula kepada kakitangan, di samping bayaran balik cukai.

“Perubahan sistem percukaian tidak wajar dibuat terlalu kerap kerana ia akan mengurangkan keyakinan pelabur dan memberi imej yang kurang baik,” ujarnya.

Sementara itu, Datuk Seri Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) turut meminta pandangan Perdana Menteri berhubung usaha kerajaan untuk meningkatkan semula hasil negara selepas mengalami penyusutan hampir RM20 bilion.

Ujar Dr Mahathir, penyusutan hasil negara adalah perkara normal apabila pertukaran sistem percukaian berlaku.

“Kerajaan terdahulu dapat khidmat nasihat daripada penasihat yang tidak bertauliah dan sebab itu mereka memperkenalkan GST.

“Memang kita dapati berlaku penyusutan dalam kutipan cukai di bawah SST. Penyusutan bukan kerana SST itu silap.

“Memang apabila sesuatu cukai pada mula pelaksanaan selalu akan alami penyusutan kerana pelarasan pegawai dan mereka yang membayar cukai.

"Saya yakin dalam tahun-tahun akan datang ini, SST akan melebihi kutipan GST,” katanya.




Tag: GST, Dewan Rakyat, Mahathir Mohamad, Cukai Barangan dan Perkhidmatan, SST, Cukai Jualan dan Perkhidmatan



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.