Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Guan Eng beri bayangan Agrobank bakal diterajui wanita

Guan Eng beri bayangan Agrobank bakal diterajui wanita
Lim dalam ucapannya menyebut nama-nama wanita yang menerajui organisasi seperti Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Datuk Zaiton Mohd Hassan, Pengerusi Maybank Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri. - Gambar fail
CYBERJAYA: Kejayaan golongan wanita menerajui kepimpinan tertinggi bank dan agensi kerajaan mendapat pujian Menteri Kewangan Lim Guan Eng, pada Isnin.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, ia sekali gus membuktikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) sentiasa memberi sokongan dan peluang kepada golongan wanita untuk mendapat tempat di pengurusan tertinggi termasuk menerajui bank-bank tempatan.
Ketika menyampaikan ucapan pada majlis kolaborasi strategik antara Bank Simpanan Nasional (BSN), Kumpulan SME Bank dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) di sini, beliau berkata, berasa berbesar hati dapat bertemu dengan Pengerusi BSN baharu Rossana Annizah Rashidi.

BACA: BSN jalin kolaborasi, tawar RM500 juta geran padanan untuk PKS
Rossana dilantik memegang jawatan tersebut pada 1 Februari lepas, sekali gus wanita pertama menjadi Pengerusi BSN.

“Ini pertama saya berjumpa dengan beliau selepas saya melantiknya.

“Ini menunjukkan bahawa kita (melantik) berdasarkan bukan hubungan peribadi tetapi berdasarkan kepada merit dan juga kemampuan yang ditunjukkan," kata Lim.


Beliau kemudian menamakan kejayaan wanita-wanita lain, antaranya Pengerusi Bank Pembangunan Malaysia Bhd Datuk Zaiton Mohd Hassan, Pengerusi Maybank Datuk Mohaiyani Shamsudin dan Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri.

Dalam masa sama, Lim memberi gambaran bahawa tidak mustahil bank berkaitan kerajaan, Agrobank, turut diterajui wanita.

“Agrobank kita tunggulah. Agrobank pun mungkin ada, jadi kena tunggu.

"Tetapi yang paling penting kita lihat TPM (timbalan perdana menteri) adalah wanita. Satu hari nanti mungkin PM (perdana menteri) pun akan jadi wanita, tetapi sebelum PM datang dari wanita, mungkin seorang wanita jadi menteri kewangan dululah," ujarnya.

Berkuat kuasa 27 Jun tahun lalu, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank ialah Khadijah Iskandar, yang menggantikan Syed Alwi Mohamed Sultan.