Lawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki bersama delegasi pegawai kanan polis diluluskan pada 2017, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Guan Eng menjelaskan keputusan meluluskan lawatan itu dibuat ketika Barisan Nasional memegang kerajaan bukan Pakatan Harapan.

Beliau menjelaskan perkara berkenaan, selepas lawatan kerja itu menerima kecaman apabila tersebar gambar menunjukkan delegasi bersiar-siar di Turki.

"Yang paling menarik perhatian ialah ia bukan dibuat pada 2018, keputusan dibuat pada 2017, jadi pihak yang jadi kerajaan pada 2017 pula nak mendakwa saya, dia yang buat kita pula yang kena," katanya kepada media selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Cek Peruntukan Sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Agama Persendirian di sini, pada Khamis.

Lawatan Fuzi ke Istanbul, bersama 17 pegawai kanan polis, mula didedahkan oleh laman web Sarawak Report.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui lawatan yang ditaja itu diluluskan tetapi tidak mengetahui berapa ramai pegawai polis yang mengikutinya dan menggunakan penerbangan kelas perniagaan.