Sebarang kenyataan rasmi Kementerian Kewangan akan sentiasa mengutamakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar yang rasmi, bukan Bahasa Mandarin seperti mana didakwa sesetengah pihak sebelum ini, tegas menterinya Lim Guan Eng.

Beliau, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, kenyataan rasmi Bahasa Melayu akan diterjemahkan dalam Bahasa Inggeris untuk kegunaan sesetengah media, dan sekali-sekala diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin jika ada keperluan.

“Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi Bahasa Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris ataupun sekali-sekala dalam Bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Bahasa Mandarin.

“Jika adapun, terjemahan ke dalam Bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal. Terjemahan ini kemudiannya dihantar terus kepada media berbahasa Cina atau media sosial dan tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan,” katanya lagi.

Difahamkan, pada 21 Jun lepas, beliau ada mengeluarkan kenyataan mengenai TRX City Sdn Bhd dalam tiga versi iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Bahasa Mandarin untuk kegunaan media.

Namun terdapat sesetengah pihak sengaja membuat ‘printscreen’ kenyataan Bahasa Mandarin, dan disebarkan, hingga menimbulkan persepsi hanya versi itu yang dibuat Kementerian Kewangan.

Lebih memburukkan keadaan, terdapat ‘post’ dari akaun Facebook Lim yang seolah-olah menggambarkan tidak ada salahnya menggunakan Bahasa Mandarin sebagai sebagai bahasa perantara bagi setiap kenyataan Menteri Kewangan.


Namun Lim, dalam kenyataan hari ini, menegaskan Bahasa Melayu akan terus diberi keutamaan dalam setiap kenyataan berkaitan urusan rasmi kementerian, selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sebagai Bahasa Rasmi Kebangsaan.

Namun beliau berkata, bahasa lain akan terus digunakan dalam akaun media sosial rasminya, manakala Bahasa Mandarin akan digunakan dalam sebarang komunikasi bersama akhbar Cina.


“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin tentang perkara ini dan saya mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan dengan status yang dimuatnaik dalam laman sosial saya pada 24 Jun 2018.

“Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia,” katanya lagi.