Lim Guan Eng, yang dinamakan sebagai Menteri Kewangan oleh perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berjanji akan mendedahkan semua maklumat berkaitan Penyata Kewangan Negara.
Guan Eng berkata, beliau akan meneliti semua Penyata Kewangan Negara bagi memastikan ia tepat dan benar sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini selepas selesai mengangkat sumpah jawatannya pada Isnin.
Tambahnya, ada beberapa perkara yang perlu disemak dengan berhati-hati kerana ia tidak seperti yang diwar-warkan kerajaan sebelum ini.
Sementara itu, ditanya mengenai pemansuhan tol di Jambatan Pulau Pinang, Guan Eng berkata, kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan memastikan semua janji yang dibuat di dalam Manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) yang lalu akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari.
Bagaimanapun buat masa ini tumpuan adalah kepada meneliti Penyata Kewangan Negara terlebih dahulu.
"Kita kena beri pertimbangan kepada Penyata Kewangan Negara, sama ada ia tepat atau tidak, kita kena buat semakan dan teliti, kerana apa yang saya lihat, kita kena berhati-hati.

"Ini supaya kita dapat yang sepenuhnya (Penyata Kewangan Negara) kerana kita hendak pastikan maklumat atau fail yang tidak didedahkan, kita 'open book system'," katanya selepas merasmikan replika kapal angkasa dari China bernilai RM1 juta yang dipamerkan di Pusat Sains Tech Dome di Komtar, di sini hari ini.
Sebelum ini Guan Eng berkata, beliau akan memastikan 'kesihatan' kewangan negara dapat dipulihkan selepas kerajaan PH mengambil alih tampuk pentadbiran daripada Barisan Nasional pada PRU14.