Walaupun dituduh membeli hartanah di bawah nilaian sebenar, Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tetap mempertahankan transaksi tersebut.

Katanya, pembelian rumah banglo itu dibuat secara bebas dan rela hati di antara pembeli dan penjual.

Jelas Guan Eng, hartanah itu dibeli pada harga RM2.8 juta pada 28 Julai tahun lalu daripada individu persendirian, bukannya dari pemaju.

“Shabudin membuat tuduhan bahawa nilai rumah saya sepatutnya lebih tinggi. Walau bagaimanapun ini adalah transaksi ‘bebas dan rela hati’ antara saya dan penjual berasaskan dasar kesanggupan secara rela hati pembeli dan penjual (willing buyer-willing seller).

“Penjual merupakan individu persendirian melalui sub-jualan, dan bukan merupakan pemaju perumahan. Selagi tidak ada paksaan atau pengaruh yang tidak wajar, kontrak penjualan rumah ini umpama seperti perkahwinan - ia terpulang kepada kedua-dua pihak masing-masing secara rela hati untuk memutuskan harga yang sesuai, atau teman yang sesuai,” jelasnya.

Kesal dengan dakwaan tersebut Guan Eng mencabar Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahya untuk bertemu dengannya secara terbuka bersama pihak media bagi membincangkan isu pembelian banglo kediamannya Ahad ini.

Ujarnya, Shabudin juga perlu mengemukakan bukti berhubung dakwaan yang mengaitkan pembelian rumahnya itu dengan tanah kerajaan negeri di Taman Manggis yang telah dijual kepada pemaju swasta untuk pembinaan hospital swasta dan hotel yang disifatkannya sebagai tidak benar.

Malah isu tersebut disifatkan Guan Eng sebagai isu lama yang dimainkan Barisan Nasional sebelum pilihan raya umum 2013 lalu.