Guan Eng rayu bantuan ATM bantu mangsa banjir kilat Pulau Pinang

Guan Eng rayu bantuan ATM bantu mangsa banjir kilat Pulau Pinang
Guan Eng yang turun melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan berkata, keadaan banjir di negeri tu semakin membimbangkan apabila air naik sehingga paras 10 hingga 12 kaki. - Foto Facebook Lim Guan Eng
GEORGE TOWN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang  terpaksa memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi  membantu  pasukan penyelamat sedia ada yang kini sedang bertungkus lumus menyelamatkan  mangsa banjir di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng  dalam kenyataan menerusi  FB Livenya dipetik berkata, ia berikutan keadaan hujan lebat dan angin ribut yang semakin memburuk di negeri itu.

Guan Eng yang turun melawat mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan berkata, keadaan banjir di negeri tu semakin membimbangkan apabila air naik sehingga paras 10 hingga 12 kaki dan melepasi bumbung rumah.

Dalam nada sedih, Guan Eng meminta semua penduduk di negeri itu khususnya yang terjejas banjir agar terus bersabar sementara Kerajaan Negeri akan  berusaha  untuk menyampaikan bantuan secepat mungkin.

"Keadaan kini bertambah genting air masih naik, angin ribut masih  kuat, air sampai 10 kaki 12 kaki melepasi bumbung, di Pulau Pinang pusat  pemindahan tak ada bekalan elektrik. Pulau Pinang minta bantuan dariada Angkatan Tentera Malaysia, saya telah berjaya menghubungi Timbalan Perdana Menteri dan saya minta  Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

"Terima kasih terima panggilan saya pada hampir jam  3.30 pagi dan beliau berjanji  akan menghantar Angkatan Tentera Malaysia  untuk selamatkan Pulau Pinang," kata Guan Eng.

Hujan lebat diikuti angin kencang  sejak tengah hari Sabtu menyebabkan Pulau Pinang lumpuh apabila sebahagian besar kawasan dinaiki air manakala banyak jalan terpaksa ditutup.

Keadaan turut diburukkan dengan kejadian puluhan pokok tumbang.

Tinjauan mendapati ratusan kenderaan terperangkap di dalam  banjir.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memberi amaran mengenai hujan yang sangat lebat dan berterusan berserta angin kencang sedang berlaku di negeri Pulau Pinang dan Kedah (daerah Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) yang dijangka berterusan hingga Ahad.