Kecewa apabila dikritik teruk oleh kepimpinan Pas, Menteri Kewangan, Lim Guang Eng hari ini menunjukkan bukti hitam putih surat rasmi kerajaan Kelantan memohon bantuan kewangan kepada kerajaan pusat hari ini.

Berdasarkan surat tersebut, Lim mendedahkan kerajaan Kelantan memohon wang pendahaluan daripada kerajaan pusat sebanyak RM97 juta pada Julai bagi menampung kekurangan tunai disebabkan perbelanjaan luar jangka.

"Soalannya mengapa tidak ada reaksi begitu kuat dan keras oleh barisan kepimpinan Pas ketika mantan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) mendedahkan kepada umum pada 28 Januari bahawa kerajaan Kelantan terpaksa bergantung kepada bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan untuk membayar gaji kakitangan kerajaan negeri Kelantan.


BACA: Guan Eng kesal reaksi pimpinan Pas yang berat sebelah

Lim turut mengulangi sentimen yang disuarakan di Dewan Rakyat semalam berhubung kenyataan beliau yang didakwa menfitnah dirinya berdendam dengan Pas.

"Sebaliknya, bila saya sebagai Menteri Kewangan buat kenyataan sama barisan kepimpinan Pas memainkan sentimen yang begitu mengapi-apikan," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Lim sebelum ini membuat kenyataan mendakwa kerajaan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan awam di Dewan Rakyat pada Selasa sehingga menyebabkan beliau dikecam teruk oleh barisan kepimpinan Pas.

Beliau turut berkata menjadi satu kehairanan apabila hanya beliau saja dikritik kerana membuat kenyataan tersebut dan kenapa tindakan yang sama tidak berlaku kepada Najib.

Katanya, Najib juga pernah membuat kenyataan sama menyatakan Kelantan tidak mampu membayar gaji kakitangan jika tidak kerana bantuan kerajaan pusat.

Semalam, Lim turut mengakui sukar untuk memulihkan keyakinan orang ramai dan para pelabur atau membangunkan semula sebuah negeri yang gagal sekiranya membelakangkan fakta dan angka.