Tutup

Gubal akta keharmonian nasional elak ketegangan kaum

Gubal akta keharmonian nasional elak ketegangan kaum
Generic tulisan jawi
PIHAK kerajaan perlu memberi pertimbangan dengan serius dan segera untuk mewujudkan sebuah akta khusus bagi menjamin keharmonian antara kaum dan agama dalam negara kita. 

Semenjak akhir – akhir ini terdapat pelbagai isu berbangkit yang berlaku dalam negara kita yang sekiranya tidak dikawal dan dibendung dari awal akan membawa negara kita ke masalah permusuhan dan ketegangan antara kaum yang serius.

Isu pengunaan tulisan khat jawi, kemalangan jalan raya, serta pendapat-pendapat yang dikeluarkan oleh ahli politik terhadap isu-isu tertentu sedikit sebanyak boleh mengundang kepada masalah serius terhadap perhubungan antara kaum dalam negara kita terutamanya jika segala isu terbabit disalah tafsir oleh orang ramai.

Masalah terbabit juga akan menjadi lebih serius sekiranya terdapat pihak – pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap segala isu berbangkit yang berlaku untuk mencetuskan huru – hara dalam negara kita.
 
Adalah penting untuk kita semua ketahui, Malaysia adalah sebuah negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.
Kewujudan pelbagai kaum dan agama ini telah lama wujud sebelum negara ini mencapai kemerdekaannya pada tahun 1957.

Dengan terbentuknya gagasan Malaysia pada tahun 1963, jumlah kepelbagaian kaum dan agama yang ada dalam negara kita telah meningkat dengan banyaknya.

Sebagai sebuah negara yang memilki pelbagai kaum dan agama, konflik atau salah faham akan mudah berlaku sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menyalahgunakan kebebasan yang telah diberikan kepada mereka khususnya kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat.
Oleh yang demikian, adalah penting supaya pihak kerajaan mewujudkan satu bentuk peruntukkan undang-undang seperti Akta Keharmonian Nasional bagi membendung pihak yang tidak bertanggungjawab daripada membangkitkan sebarang perkara sensitif atau mengambil kesempatan terdapat mana – mana isu yang boleh menguris hati dan perasaan mana – mana pihak sehingga boleh tercetus masalah perkauman yang serius.

Kewujudan sebuah akta terhadap perkara ini adalah penting sebagai langkah awal bagi mengelakkan perkara yang lebih serius daripada berlaku.
 
Seperti yang diketahui umum, setiap rakyat Malaysia berhak memiliki kebebasan dan ini termasuklah kebebasan untuk mereka bersuara dan meluahkan pendapat masing – masing.

Kebebasan yang diberikan kepada setiap warganegara di Malaysia adalah jelas termaktub didalam Bahagian II Perlembagaan Persekutuan. Setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat adalah asas kepada kewujudan demokrasi dalam sesebuah negara serta ianya penting bagi menjamin serta melindungi maruah setiap diri manusia itu sendiri. Kebebasan untuk seseorang itu bersuara serta meluahkan pendapat juga penting bagi kemajuan sesebuah masyarakat dan negara.
 
Walaupun begitu, setiap jenis hak asasi yang telah diperuntukkan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat tidak bersifat mutlak. Perkara 10 (2) Perlembagaan Persekutuan ada memperuntukkan bahawa “Parlimen boleh melalui undang – undang mengenakan apa – apa sekatan yang didapatinya perlu atau suai manfaat demi kepentingan keselamatan Persekutuan atau mana – mana bahagiannya, hubungan baik dengan negara – negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral dan sekatan – sekatan yang bertujuan untuk melindungi keistimewaan Parlimen atau mana – mana Dewan Undangan atau untuk membuat peruntukan menentang penghinaan mahkamah, fitnah, atau pengapian apa – apa kesalahan”. Dengan ini, pihak Parlimen atau pengubal undang – undang utama dalam negara kita boleh mengenakan sekatan terhadap kebebasan bersuara melalui undang – undang jika mendapati sekatan tersebut perlu demi menjaga kepentingan keselamatan Persekutuan, hubungan baik dengan negara lain, ketenteraman awam atau prinsip moral. Sekatan yang dikenakan terhadap perkara ini dilihat menjadi satu keperluan penting supaya tidak ada mana – mana pihak dalam negara yang menyalahgunakan atau mengambil peluang di atas prinsip kebebasan bersuara dan meluahkan pendapat.
 
Oleh yang demikian, adalah ingin disarankan supaya pihak kerajaan mengubal sebuah akta baru yang diberi nama Akta Keharmonian Nasional khusus bagi membendung mana – mana pihak yang tidak bertanggungjawab daripada menyalahgunakan atau mengambil kesempatan terhadap segala jenis kebebasan yang telah diberikan kepada mereka untuk mencetuskan huru – hara dalam negara kita.

Melalui kewujudan sebuah akta terhadap isu ini, tindakan undang – undang dapat diambil dengan segera terhadap mana – mana pihak yang didapati mengunakan sebarang isu bagi tujuan untuk mencetuskan huru – hara dalam negara kita. Kewujudan akta ini juga dilihat penting kerana pihak kerajaan kini didalam proses memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Akta Keharmonian Nasional ini juga dapat digunakan bagi mengantikan Akta Hasutan 1948 yang dilihat sudah lapuk, ketinggalan zaman, serta tidak sesuai dengan konteks masyarakat moden pada masa  kini.

Dalam merangka cadangan Akta Keharmonian Nasional ini, pihak kerajaan perlu memastikan satu bentuk keseimbangan terbaik dapat diwujudkan supaya rakyat negara kita tidak kehilangan kebebasan untuk bersuara dan meluahkan pendapat serta pada masa yang sama kebebasan untuk bersuara dan  meluah pendapat terbabit tidak  menjejaskan suasana kompleksiti, sensitiviti, dan kemajmukan yang sudah lama wujud dalam negara ini.