Kerajaan mungkin akan membeli terus ubat-ubatan daripada syarikat farmaseutikal tanpa menggunakan ejen, kata Dr Dzulkefly Ahmad.

Menteri Kesihatan itu menegaskan ia salah satu cara bagi memastikan kerajaan tidak lagi menanggung kos ubat-ubatan yang terlalu tinggi.

"Kami komited membuat satu penilaian semula untuk mencapai rantaian penawaran yang optima terutama melalui proses perolehan supaya pada akhirnya kos perolehan ubat-ubatan tidaklah begitu tinggi.

"Kita akan pastikan dapat menangani pihak ketiga dan mungkin juga terus beli daripada pemilik ubat (principle) andainya ubat itu dalam tempoh paten.

"Kerajaan boleh beli terus. Andainya kita mahukan tender terbuka pastikan ia benar-benar terbuka dengan tidak ada syarat-syarat tertentu," ujarnya selepas Program Bicaran Minda di Dewan Karangkraf, Kumpulan Media Karangkraf di sini hari ini.

Mengikut statistik, Kementerian Kesihatan membelanjakan kira-kira 40 peratus daripada peruntukan tahunan hanya untuk pembelian ubat-ubatan sama ada berpaten atau generik.

BACA: Wakil rakyat lapor SPRM, dakwa ada monopoli dalam pembekalan ubat

Dr Dzulkefly pada masa sama turut mempersoalkan sama ada pelaksanaan ejen ubat-ubatan itu sebahagian agenda memperkasa Bumiputera, atau ia hanya menguntungkan sesetengah Bumiputera sahaja.

"Kalau benar itu agenda Bumiputera, adakah benar Bumiputera yang untung? Atau beberapa Bumiputera (tertentu) sahaja? Itu semua perkara yang akan kami garap sekaligus. Jadi saya kira kalau kita sudah nampak begitu, kita akan dapat menangani perkara itu dengan baik.

"Masalahnya mudah sahaja. Apabila ejen pembida itu dikenalpasti mempunyai hubung kait yang rapat dengan pemimpin politik, maka syarikat farmaseutikal termasuk syarikat subsidiari tempatan akan hanya menggunakan entiti-entiti ini.

"Jadi cara tidak langsung, mereka sahaja yang akan dapat tender. Ejen pembida yang lain tidak akan dapat ambil ubat daripada syarikat farmaseutikal ini kerana mereka (syarikat farmaseutikal) enggan memberikannya," jelasnya.

Mengulas bekenaan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu itu, Dr Dzulkefly berkata beliau membuka ruang seluas-luasnya kepada SPRM untuk menyiasat sekaligus mengambil tindakan sewajarnya.