Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Rafiq Naizamohideen menegaskan Peguam Negara perlu meletak jawatan susulan keputusannya menggugurkan pertuduhan ke atas 12 individu terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Jelasnya, keputusan dibuat Tan Sri Tommy Thomas itu amat mengejutkan.

"Untuk kepentingan negara, saya menyeru rakyat Malaysia seluruh negara bersama-sama mendesak Peguam Negara segera meletakkan jawatannya. Sekiranya Peguam Negara tidak mahu meletakkan jawatan, saya merafak sembah memohon pertimbangan, budi bicara & perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk memecat Peguam Negara selaras dengan undang-undang negara," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambahnya, perhatian wajar diberi kepada alasan yang disandarkan oleh Peguam Negara ke atas keputusan tersebut dan masyarakat berhak membincangkan serta mempertikai asas tindakan itu dibuat.

"Perlu ditegaskan bahawa Peguam Negara yang sama pada 29 Oktober 2019 memutuskan untuk memulakan prosiding jenayah ke atas 12 individu terbabit dengan menggenakan beberapa pertuduhan berkaitan penglibatan kesemua mereka dengan LTTE.

"Ini jelas menunjukkan bahawa keterangan pada ketika itu (yang mana kekal sehingga kini) cukup untuk membuktikan penglibatan kesemua 12 individu terbabit di dalam kesalahan terlibat dengan LTTE," ujar beliau.

Peguam Negara juga katanya tidak berhak mempertikaikan klasifikasi oleh Menteri Dalam Negeri hanya bersandarkan kepada fakta-fakta yang terhad dan tidak diasaskan kepada satu laporan oleh pihak berkuasa.

"Tindakan Peguam Negara bukan sahaja boleh disimpulkan melampaui bidangkuasa Menteri Dalam Negeri dan PDRM malahan seolah-olah tidak menghormati prinsip “Rules of Law” yang menjadi pegangan kerajaan. Sebagai Peguam Negara, sepatutnya perintah Menteri Dalam Negeri dipertahankan namun malangnya ia berlaku sebaliknya," tambah beliau.

Pada Jumaat, Tommy Thomas menarik balik pertuduhan terhadap 12 tertuduh yang dikaitkan dengan aktiviti Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) berkuat kuasa serta merta.