Kerajaan Sarawak perlu mengambil tindakan tegas menyekat kemasukan pemimpin dan anggota pembangkang ke negeri itu bagi mengekang perilaku yang boleh menjejaskan keharmonian.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata langkah itu boleh dilaksanakan menerusi penggunaan kuasa autonomi imigresennya yang sedia ada dalam perlembagaan.

Menurut beliau, masih wujud segelintir pemimpin dan ahli parti pembangkang, khususnya dari Semenanjung, yang sengaja mempolitikkan isu seperti perkauman bagi menjejaskan keharmonian dan menimbulkan kebencian.

Antaranya seperti mengutuk dan membuat serangan peribadi ketika berkempen dalam pilihan raya kecil Balingian, tahun lalu.

Sehubungan itu, langkah wajar perlu diambil bagi menyekat mereka terbabit mengulanginya dengan menggunakan kuasa autonomi yang termaktub dalam perlembagaan.

“Saya mengharapkan kerajaan negeri Sarawak akan mengambil langkah yang begitu tegas sekali kerana ada personaliti tertentu dari Semenanjung ini yang telah disekat untuk masuk ke negeri Sarawak, katanya ketika ditemu bual oleh Astro AWANI.

Beliau turut memberi beberapa contoh di mana beliau dijadikan sebagai topik pembohongan semasa pilihan raya negeri yang lepas dan pilihan raya parlimen yang lalu.

Pada Mac 2014, Sarawak menggunakan kuasanya menghalang empat pemimpin pembangkang iaitu Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Batu, Tian Chua; Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Mereka disekat memasuki Sarawak ketika mahu menyertai kempen pilihan raya kecil Balingian.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong, menjelaskan kuasa autonomi imigresen yang sedia ada turut memberi keistimewaan kepada penduduk tempatan.

Antaranya ialah mengawal kemasukan orang luar ke negeri itu bagi memberi jaminan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada usahawan dan rakyat tempatan.

“Kita mengawal kemasukan orang luar ke negeri kita supaya kita dapat menjamin mereka daripada segi pekerjaan, perniagaan dan kawalan kepada khazanah negeri kita iaitu kepunyaan negeri kita.

"Ini telah dipersetujui dan adalah keistimewaannya sehingga ia dimasukkan ke dalam perlembagaan,” katanya.

Sabah dan Sarawak adalah dua negeri di Malaysia yang mempunyai autonomi ke atas imigresen, kuasa yang dinyatakan dalam Perjanjian Malaysia 1963.