Dua lelaki yang bekerja sebagai pemandu trak tunda bukan setakat memecah masuk ke dalam sebuah rumah di Taman Duranda di sini, malah melarikan pelbagai barangan dari rumah berkenaan dalam tempoh dua hari dengan menggunakan trak tunda mereka.

Timbalan Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Merbin Lisa berkata, perbuatan itu terbongkar apabila pengadu, seorang wanita Cina membuat laporan polis pada tengah hari Jumaat lepas mengenai rumahnya yang dipecah masuk.

"Menurut mangsa, penyamun terbabit telah melarikan set televisyen, tong gas dan speaker sebelum keesokannya, sekitar jam 7 malam, melarikan pula beberapa mesin untuk kerja pembinaan.

Kata Merbin, berdasarkan maklumat mangsa, jirannya mendakwa telah melihat sebuah lori berwarna perak diparkir di hadapan rumah mangsa sekitar jam 5 petang hari kejadian.

Bertindak atas laporan tersebut, anggota siasatan jenayah Padawan telah membuat risikan dan intipan, dan pada jam 3 petang, Ahad lalu berjaya menahan seorang lelaki Cina, yang memandu lori yang disyaki digunakan untuk tujuan pecah rumah tersebut.

"Kurang dua jam kemudian, dua lagi suspek termasuk adik suspek pertama berjaya dicekup.

"Mereka ditahan di pekarangan Balai Polis Kota Sentosa, di sini untuk membantu siasatan.

Polis kata Merbin, kemudian dipandu arah oleh kedua-dua supek yang ditahan menuju ke tapak pembinaan sebuah apartment Taman Green Villa Park, Jalan Batu Kitang di sini.

"Di sini kita berjaya merampas beberapa peralatan pembinaan termasuk mesin pemotong kayu dan besi," katanya.

Jelasnya, siasatan awal mendapati rumah yang dipecah masuk suspek dibiarkan tidak berpenghuni sejak seminggu sebelum itu kerana pengadu berpindah ke rumah baharu.

"Barang yang dilaporkan hilang merupakan milik bapa pengadu, yang kesemuanya yang disimpan untuk tujuan kerja-kerja pembinaan rumah.

Siasatan turut mendapati lori yang digunakan dalam aktiviti pecah rumah tersebut milik suspek pertama yang menjalankan perniagaan trak tunda, tetapi digunakan suspek kedua dan suspek ketiga, rakan adiknya untuk melakukan jenayah.

"Semakan rekod mendapati suspek kedua yang berusia 33 tahun dari Batu Kitang ini mempunyai dua rekod jenayah iaitu curi kenderaan dan dadah.

"Manakala suspek ketiga yang berusia 37 tahun dari Larkin, Johor pula mempunyai 13 rekod jenayah lampau termasuk lapan kes dadah, empat kes curi, satu kes Akta Pencegahan Jenayah (Poca) kerana lari dari pengawasan, selain berada dalam senarai dikehendaki polis di Betong.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana melakukan pecah masuk.

Ketiga-tiga mereka direman hingga 1 September depan.