Gunung Keriang, Alor Setar diisytihar sebagai kawasan wabak denggi selepas 11 kes demam denggi dilaporkan dari lokaliti terbabit bermula 20 Mei sehingga semalam.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr Mohd Fikri Ujang, memaklumkan, situasi wabak di kawasan itu bagaimanapun terkawal.

Menurutnya, aktiviti kawalan wabak dilaksanakan di Gunung Keriang sejak 20 Mei lalu membabitkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan kepada penduduk setempat.

Katanya, sebanyak 176 premis telah diperiksa dan 14 kompaun dengan nilai sebanyak RM7,000 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang membiak Aedes mengikut Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan, JKN mendapati tahap kesedaran tentang bahaya dan pencegahan penyakit denggi masih kurang dalam kalangan penduduk setempat.

Ini berikutan, pihak JKN menjumpai banyak bekas menakung air di luar dan dalam rumah seperti tong, baldi dan kolah mandi yang menjadi tempat pembiakan jentik-jentik.

Sementara itu, Mohd Fikri memberitahu sebanyak 399 kes denggi dicatatkan di negeri ini bermula Januari sehingga semalam.

Beliau berkata, jumlah kumulatif kes denggi itu menurun sebanyak 52.6 peratus atau 443 kes berbanding 842 kes tempoh yang sama tahun lalu.

Bagaimanapun, kata beliau,tiada kematian akibat demam denggi dilaporkan di Kedah sehingga sekarang.

Namun begitu, ujar beliau, masyarakat perlu memanfaatkan masa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan duduk di rumah dengan menjaga kebersihan dalam dan sekitar rumah.

Semua tempat pembiakan Aedes, tegas beliau, perlu dihapuskan sekali gus dapat mengamalkan amalan kebersihan yang baik seperti prosedur operasi standard (SOP) disarankan oleh kerajaan dalam menangani COVID-19.

Pada masa sama, katanya, aktiviti kawalan vektor, pemantauan kes dan siasatan lanjut akan terus dijalankan di kawasan yang dilaporkan.