Seorang guru sebuah pusat tahfiz di sini mendakwa 21 pelajarnya telah didera secara seksual oleh seorang lelaki yang merupakan pemberi sumbangan kepada pusat itu.

Menurut sumber, ia terbongkar selepas pelajar yang terbabit mengadu kepada seorang gurunya berhubung kejadian itu sebelum laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, kelmarin.

"Menurut laporan polis, kejadian membabitkan pelajar lelaki berusia antara 14 hingga 17 tahun; dan mereka turut dipukul serta diugut suspek untuk tidak mendedahkan perkara itu,” katanya di sini, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Polis, Mohamad Noor Yusof Ali ketika dihubungi mengesah laporan berkenaan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

BACA: Enam pelajar tahfiz diliwat penderma

Sementara itu, polis telah menahan seorang lelaki berumur 41 tahun yang didakwa meliwat beberapa pelajar sebuah pusat tahfiz di sini, sejak awal Disember tahun lepas.

Lelaki berkenaan merupakan sukarelawan di situ dan aktif memberi sumbangan barangan keperluan harian dan pakaian di pusat itu sejak 2015.

Suspek ditangkap pada hari sama laporan dibuat dan telah direman bermula semalam sehingga 19 Mac.

Kes disiasat di bawah Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.